fbpx
AMYRA ROSLI

Amyra Rosli percaya suami 100 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DILIHAT sebagai isteri dan ibu penuh kelembutan, Amyra Rosli berasakan media sosial bukan platform terbaik merakam setiap inci permasalahan rumah tangga jika hal sama terjadi dalam hidupnya.

Seolah-olah berjangkit dan dijangkiti, isu rumah tangga berantakan dek disondol ‘pencinta’ suami orang bagaikan penyakit yang menular dalam kehidupan rumah tangga selebriti tanah air.

Rentetan itu, bermulalah campur tangan orang luar yang lantang meluahkan pendapat seakan-akan mereka yang tidur sebantal dengan pasangan artis terbabit

Namun perkara sedemikian tidak menjadi ‘amalan’ pelakon jelita, Amyra Rosli apabila memilih mengunci mulut daripada menyentuh isu rumah tangga orang lain, mahu pun mengulas hal penyondol.

Isteri kepada pelakon, Amar Baharin itu enggan terikut-ikut isu yang menjadi trend percakapan dalam media sosial.

SELEMBUT senyuman di wajahnya, Amyra Rosli mengambil pendekatan berhemah dan tidak mahu merosakkan emosi memikirkan perkara tidak sepatutnya setiap kali suaminya, Amar keluar berkerja.

Penyondol

“Sebenarnya kes membabitkan penyondol hangat diperkatakan disebabkan media sosial. Apabila setiap pihak pula berbalas kenyataan, ini membuatkan situasi menjadi kecoh.

“Jadi saya dan suami memilih untuk tidak ambil tahu, malah saya juga enggan buka mulut bercakap tentang mana-mana individu yang terpalit dengan krisis rumah tangga,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Aktres berusia 31 tahun itu bagaimanapun berpendapat, semuanya terpulang kepada pandangan setiap individu.

Tepuk dada tanya selera, mahu berkongsi atau tidak, tergantung suara dan selera masing-masing.

“Mereka sahaja tahu baik buruk. Kita boleh beri semangat dan usah memihak kepada mana-mana individu.

“Jangan menilai perkara yang kita nampak sahaja kerana harus dengar kedua-dua belah pihak, biar mereka sahaja yang membuat keputusan tanpa campur tangan orang luar,” kata hos Nona itu.

HAMPIR lapan tahun usia perkahwinan, Amar memainkan peranan penting sebagai suami, selain mendukung penuh kerjaya seni Amyra.

Kepercayaan

Disoal kebimbangan andai gelombang orang ketiga turut bertandang ke rumah tangganya, pemilik nama lengkap, Nur Amira Izzati Rosli menyerahkan perkara tersebut atas urusan Allah SWT.

“Saya sayangkan Amar kerana Allah dan meletakkan 100 peratus kepercayaan kepadanya. Jadi saya tidak risau kalau dia keluar bekerja atau berada di luar.

“Kerisauan yang terlampau pun boleh menggoyahkan hubungan suami isteri, selain menjejaskan kesihatan mental sendiri,” hujahnya.

Paling utama, pelakon naskhah Nur itu tidak perlu menjadi toksik, sebaliknya mahu menjalani kehidupan bahagia dalam acuan sendiri.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula rumah tangga, Amira yang mengakui tidak terlepas daripada ujian.

Dramatis kelahiran Shah Alam, Selangor itu bagaimanapun bersyukur dikurniakan suami yang matang, terutama dalam menangani masalah rumah tangga, selain tidak berkongsi hal peribadi dalam media sosial.

“Apabila ada masalah, kami akan bersemuka dan bincang secara baik. Amar sentiasa pesan, jangan kongsi apa-apa kerana media sosial akan mengeruhkan keadaan.

DILIHAT sebagai isteri dan ibu penuh kelembutan, Amyra Rosli berasakan media sosial bukan platform terbaik merakam setiap inci permasalahan rumah tangga jika hal sama terjadi dalam hidupnya.

Kongkong

“Kaum perempuan memang lain sikit, emosi mudah berkecamuk. Jika mendahulukan emosi dengan berkongsi semua perkara dalam laman sosial, kita akan lagi terbakar.

“Malah semakin banyak hasutan orang sekeliling,” jelasnya.

Menurut Amyra lagi, hubungan dengan suami juga semakin erat berkat keterbukaan Amar yang tidak pernah mengongkong hidupnya sebagai seorang anak seni.

“Syukur apabila suami izinkan saya lakukan apa sahaja selepas kahwin dan dikurniakan anak, asalkan tahu batasannya.

“Sebab itu, saya perlu menjaga nama baik suami dan keluarga. Jadi, tiada alasan untuk saya menconteng arang ke muka mereka,” kata pelakon drama Jangan Menangis Cinta itu.

Akuinya juga, mereka menjalani kehidupan sama seperti pasangan lain, mengamal kebersamaan dalam membina mahligai bahagia.

“Kebersamaan itu penting. Kami lakukan urusan bersama-sama seperti siapkan makanan anak-anak, bahkan sental kain pun buat berdua.

“Kami bukan VIP di rumah, masing-masing ada tugas yang perlu dilunaskan,” akuinya sambil tersenyum lebar.

AMYRA tidak kisah jika digandingkan dengan pelakon baharu kerana baginya setiap pelakon mempunyai kelebihan tersendiri.  – M Firdaus M Johari
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN