fbpx

WHO beri amaran ancaman Penyakit X

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja memeriksa keadaan anak ayam untuk mencari simptom-simptom selesema burung di Aceh, Indonesia pada 2 Mac lalu. – AFP

GENEVA, SWITZERLAND – Pakar-pakar kesihatan awam memberi amaran mengenai sejenis wabak digelar Penyakit X yang berisiko menjadi pandemik dan mengancam nyawa berjuta-juta orang, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Istilah Penyakit X digunakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merujuk kepada penyakit baharu dari sudut perubatan yang mengancam populasi manusia.

Sebagai agen penyakit baharu, sama ada ia virus, bakteria ataupun fungus, Penyakit X pasti belum mempunyai vaksin, manakala cara merawatnya juga terhad, sekiranya ada.

“Ini bukan sains fiksyen. Ini senario yang kita perlu bersiap sedia untuk menghadapinya. Ini ialah Penyakit X,” kata pakar Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik, Dr. Richard Hatchett kepada akhbar Telegraph.

WHO mencipta istilah Penyakit X pada 2018. Setahun kemudian, wabak mula merebak, dunia menyaksikan pandemik maut disebabkan oleh sejenis virus baharu di mana Penyakit X muncul dan ketika itu, ia dikenali sebagai Covid-19.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Penyakit X akan sekali lagi tercetus tidak lama lagi.

“Penularan wabak selesema burung H5N1 di Kemboja hanyalah satu contoh,” kata penyelidik Jabatan Kesihatan Antarabangsa Fakulti Kesihatan Awam Johns Hopkins, Dr. Pranab Chatterjee.

Sementara itu, sebilangan pakar kesihatan awam percaya bahawa Penyakit X yang seterusnya bersifat zoonotik iaitu berasal daripada haiwan domestik atau liar sebelum merebak kepada manusia.

Ebola, HIV/AIDS dan Covid-19 adalah contoh bagi wabak zoonotik.

Bagaimanapun, pakar-pakar berkata, terdapat beberapa sumber lain termasuk bioterorisme yang boleh menjadi pencetus kepada Penyakit X.

“Kebarangkalian mengenai patogen ciptaan manusia sebagai punca pandemik juga tidak boleh diabaikan.

“Pelepasan patogen seumpamanya, sama ada menerusi kemalangan dalam makmal atau sebagai tindakan keganasan bio, boleh membawa kepada Penyakit X serta dinamakan sebagai risiko malapetaka global,” kata penyelidik sama. Artikel mengenainya diterbitkan dalam jurnal Infection Control & Hospital

Epidemiology pada 2021.

Sumber lain yang boleh mencetuskan pandemik adalah virus ‘zombi’ yang selama ini terperangkap di dalam permafros atau landskap beku lain selama berabad-abad. Ia berisiko dibebaskan ke alam sekitar akibat pemanasan iklim.

Dalam pada itu, antara penyakit lain yang berada dalam senarai WHO sebagai ‘penyakit keutamaan’ termasuk Marburg, demam berdarah Crimean-Congo, demam Lassa, penyakit Nipah dan henipaviral, demam Rift Valleyserta sindrom pernafasan asia barat (MERS Cov).

“Pandemik Covid-19 bukan wabak pertama yang mencetuskan huru-hara di seluruh dunia dan ia juga bukan yang terakhir. Justeru, kita perlu bersiap sedia untuk berdepan wabak baharu secepat mungkin,” kata pengarang-pengarang artikel berkenaan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN