fbpx

KKD pastikan video tular ajaran sesat disekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memastikan penularan video berhubung ajaran sesat dalam media sosial akan disekat daripada diterima pengguna.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan majlis agama negeri bagi mengekang isu terbabit daripada berleluasa.

“Saya percaya kerjasama itu erat dan kita akan pastikan penularan ini bukan hanya dapat disekat, tetapi mereka yang terlibat juga boleh diambil tindakan.

“Jadi itu antara sebab kenapa kita sentiasa beri peringatan untuk elak daripada menyebar bahan fitnah melibatkan perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Indah Water Konsortium (IWK) Eco Park di Pantai Dalam, di sini hari ini.

Kata beliau, perkara itu akan terus dipantau dan SKMM akan berhubung segera dengan penyedia platform sekiranya menerima permohonan untuk tindakan lanjut.

Namun, katanya, terdapat beberapa platform yang dilihat kurang memuaskan serta tidak memberikan kerjasama yang baik.

“Saya lihat ada platform yang sangat proaktif dan memberi kerjasama seperti TikTok dan Facebook, tetapi ada juga yang kurang memuaskan seperti Twitter dan Telegram.

“Ketika ini, yang paling bermasalah adalah Telegram di mana bukan hanya isu penularan video, tetapi melibatkan sebaran maklumat,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan penyebaran ajaran sesat yang berlaku di sebuah pondok pesantren di Jawa Barat, Indonesia didakwa ‘menyanjungi Israel’.

Perkara itu mencetus kebimbangan selepas tular di media sosial memaparkan pengasas pusat pengajian itu melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam.

Lebih mengejutkan, terdapat ramai rakyat Malaysia didakwa hadir dalam majlis kontroversi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI