KUALA LUMPUR – Menyertai latihan dan mengikuti manual prosedur yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah antara langkah awal dan penting yang perlu dipatuhi oleh mana-mana usahawan yang bercadang membuat permohonan pensijilan halal.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jakim, Mohd. Fakarudin Mas’od berkata, melalui inisiatif tersebut, usahawan akan lebih memahami dengan lebih jelas secara keseluruhan mengenai prosedur mendapatkan sijil halal selain menubuhkan sebuah jawatankuasa halal dalam syarikat berkenaan untuk proses selanjutnya.
“Manual prosedur itu menerangkan secara terperinci bermula daripada pengisian borang sehingga menubuhkan jawatankuasa halal dan melantik seorang Halal Eksekutif.

“Halal Eksekutif yang dilantik oleh syarikat tersebut akan memantau dan memudahcara proses mendapatkan pensijilan halal.
“Individu tersebut perlu menjalani latihan dan mengikuti modul pembelajaran khusus dan menjalani peperiksaan yang ditetapkan, sekiranya lulus maka individu itu akan dilantik menjadi Halal Eksekutif di syarikat berkenaan,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di sini baru-baru ini.
Mohd. Fakarudin menerangkan, kefahaman tentang memohon pensijilan halal sering disalahertikan oleh ramai usahawan kerana mereka perlu melalui satu proses yang sukar.
“Pensijilan halal bukan semata-mata khusus kepada makanan halal tetapi juga bergantung kepada segmen kebersihan, sistem pengoperasian, persekitaran, peralatan dan juga jenamanya juga.
“Sebagai contoh jika menggunakan nama dari Korea tetapi ia menjurus kepada perkara tidak halal, maka kami tidak akan bagi (meluluskan permohonan),” jelasnya.

Tambah beliau, proses untuk mendapatkan sijil halal hanyalah selama 30 hari sekiranya segala garis panduan telah dipatuhi.
Selain itu, bayaran yang dikenakan untuk membuat permohonan juga adalah sebanyak RM200 untuk tempoh dua tahun.
“Bagaimanapun, kos tersebut menjadi mahal apabila usahawan melantik mana-mana perunding atau orang ketiga untuk memudahkan mereka memohon pensijilan halal kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengenakan yuran sehingga RM40,000 dan ada yang mencecah sehingga RM100,000.
“Jika permohonan tersebut tidak lulus, maka ia akan memberi impak negatif kepada Jakim akhirnya,” jelas Mohd Fakarudin. -KOSMO!ONLINE
















