fbpx

[VIDEO] TH siap siaga sambut jemaah di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sawal (tengah) mendengar penerangan yang diberikan oleh Pengurus Maktab 78, Mohd. Shafiq Shawal (kiri), dan Pengurus Maktab 77, Mohd. Ridzuan Wahi mengenai kesiapsiagaan operasi TH.

MEKAH – Kesiapsiagaan Tabung Haji (TH) berada pada tahap maksimum untuk menerima kedatangan jemaah Malaysia yang akan masuk secara berperingkat mulai esok ke sini bagi mengerjakan umrah sebelum operasi masyair pada hujung Jun ini.

Pengarah Operasi Maktab, Mohd. Sawal Abong berkata, dua kumpulan iaitu KT01 dan 02 melibatkan 565 jemaah dijangka tiba pada pukul 3 petang dengan memakai ihram untuk melakukan umrah wajib sebaik menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Katanya, jemaah akan disambut oleh pihak pengurusan maktab sebelum dibawa ke bilik masing-masing yang turut disediakan makanan untuk jamuan kali pertama.

“Operasi sebanyak sembilan maktab melibatkan 12 buah bangunan hotel telah berada pada tahap maksimum dalam operasi haji tahun ini. Jarak kesemua maktab tidak lebih dari satu kilometer dari Masjidilharam.

“Kumpulan pertama akan tinggal di dua buah maktab di Abraj Janadriah di sini. Mereka akan dibiarkan rehat seketika sebelum dibawa menunaikan umrah dengan panduan daripada 12 Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) pada pukul 9 malam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Mohd. Sawal, bagasi jemaah terlebih dahulu tiba hari ini bagi memudahkan pergerakan mereka pada keesokan harinya.

Tambahnya, setiap bangunan akan mempunyai klinik perubatan, kafe, Pejabat Pos, pejabat operasi, perkhidmatan talian telefon iTalk dan bimbingan kesihatan.

“Kita telah menyusun program sepanjang mereka berada di sini seperti ziarah luar di Jabal Nur, Jabal Rahmah, lokasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah, muzium serta lain-lain. Jemaah akan makan dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam,” katanya.

Ujar Mohd. Sawal, bagi memudahkan urusan, pejabat operasi akan menyimpan pasport jemaah sekiranya mereka ingin menukar jadual penerbangan pulang.

“Menjelang operasi masyair, kita akan menerima kemasukan 1,200 jemaah sehari. Sehubungan itu, TH telah menyediakan segala keperluan termasuk khidmat menyelesaikan persoalan menerusi e-Taib yang mana jawapan mereka akan dijawab serta merta,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI