fbpx

Suami isteri dituduh dera dua anak usia 5, 6 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASANGAN suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dakwaan mendera dua anak di bawah jagaan mereka di Kuantan.

KUANTAN – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas dua anaknya pada Januari lalu.

Tertuduh Noor Aliff Ridzwan Zakaria, 29, dan Nur Syafiqah Rosli, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Nor Aliff Ridwan yang merupakan bapa tiri dan Nur Syafiqah iaitu ibu kandung didakwa melakukan penganiayaan yang menyebabkan kecederaan fizikal ke atas kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Pasangan itu turut dituduh melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Bukit Rangin dekat sini pada Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan tidak boleh menghampiri mangsa yang kini dijaga nenek mereka sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Hamizey Mat Taib merayu agar jaminan dikurangkan berikutan tertuduh lelaki bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,500 sebulan manakala isterinya pula tidak bekerja.

Hakim membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI