fbpx

Budak maut, seorang lagi cedera diserang buaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas diserang buaya di Kampung Batu Putih, Sandakan, Sabah semalam. FOTO IHSAN PEMBACA

SANDAKAN – Seorang kanak-kanak lelaki dibaham buaya ketika mencari siput dalam kejadian di perairan Sungai Sumangat Payau di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa yang berusia 12 tahun dipercayai disambar reptilia tersebut secara tiba-tiba sebelum dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 8.25 pagi sebelum empat anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 10.38 pagi dalam keadaan terapung kira-kira satu batu nautika dari lokasi kanak-kanak tersebut  hilang.

“Susulan penemuan itu, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera di bahagian tangan akibat digigit reptilia dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari di Kampung Batu Putih semalam.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin berkata, ketika kejadian, kawasan rumah mangsa mengalami fenomena air pasang besar.

Menurutnya, anggota JHL kemudian datang memeriksa mangsa di rumah dan mendapati kanak-kanak tersebut menerima lapan jahitan di bahagian lengan kanan selain cedera di bahu kanan dan kepala. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI