SELEPAS sekian lama dikenali sebagai anggota kumpulan Elite, Linda Rafar tiada masalah, bahkan berlapang dada jika dilihat sebagai penyanyi kerohanian apabila muncul dengan single terbaharunya berjudul Sujud.
Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar, 45, menyedari zaman menyanyi sambil menari seperti era kegemilangan kumpulan Elite sudah berlalu.
Imejnya yang kini berhijab dirasakan sudah tidak lagi sesuai untuk menari dan menyanyikan lagu rancak di atas pentas.
“Pada usia sekarang tidak mungkinlah saya mahu menyanyi lagu yang memerlukan tarian melompat-lompat di atas pentas.
“Jika dengan lagu Sujud saya dilabel sebagai penyanyi kerohanian, saya okey dan suka. Memang sekarang ini saya lebih ke arah agama, jika dapat berdakwah dengan nyanyian apa salahnya,” tutur Linda.

Tawaran
Sungguhpun begitu, tidak bermakna dia tidak menyanyikan lagi lagu-lagu Elite, sebaliknya masih kekal aktif menerima undangan pentas atas nama kumpulan yang pernah popular sekitar 1990-an dan 2000 itu.
“Sebenarnya sehingga kini saya masih menerima undangan menyanyikan lagu-lagu Elite. Kebanyakannya untuk acara makan malam.
“Namun, saya tidak lagi menari seperti dahulu, walaupun lagu rancak saya boleh sesuaikan dengan imej pada hari ini,” ujarnya.
Berkongsi lanjut tentang single terbaharunya, Sujud ciptaan komposer dari Indonesia, HerdaSyira, Linda sebenarnya mengambil masa untuk memilih karya yang tepat buat dirinya.
Namun begitu, Linda tertarik dengan lagu ciptaan HerdaSyira kerana liriknya seakan-akan menceritakan kisah hidupnya yang teruji dengan pelbagai dugaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antaranya, kehilangan anak keduanya, Allahyarham Rezaimen Kiflin Kifli akibat kanser perut pada 2014 dan ibunya, Rasimah Abd. Rahman yang meninggal dunia pada 2019.
“Boleh dikatakan 80 peratus liriknya seperti menceritakan kisah hidup saya.
Sebelum bersama Elite, saya ditimpa beberapa ujian, kemudian kehilangan anak dan ibu.

Ujian tanda Allah sayang
“Ujian datang bertimpa-timpa. Lagi saya mahu dekat dengan Allah, lagi banyak ujian yang diberikan.
“Sebelum ini saya fikir adakah ini hukuman atas kesalahan-kesalahan yang pernah saya lakukan, tetapi akhirnya saya sedar bahawa ujian itu adalah tanda Allah sayang pada kita,” luah Linda lagi.
Lebih menarik, Sujud turut diangkat sebagai lagu runut bunyi drama lakonan dan terbitannya yang berjudul Zuriat Dari Penjara yang bakal disiarkan menerusi saluran RTM.
“Sujud sebenarnya lagu untuk kemunculan semula saya sebagai penyanyi solo. Selepas rakaman selesai baru saya perasan lagu ini sangat sesuai dengan drama Zuriat Dari Penjara.

“Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya berharap lagu ini akan mendapat sambutan daripada peminat.
“Insya-Allah jika sambutan menggalakkan barulah saya terfikir untuk mengeluarkan album penuh,” tutur Linda.
Selain itu, cara nyanyiannya dalam Sujud agak berbeza berbanding ketika bersama Elite.
Jika dalam lagu-lagu Elite, vokal Linda kedengaran lebih lantang, tetapi dalam lagu Sujud, suaranya lebih perlahan.
“Memang berbeza cara nyanyian kerana saya mengikut panduan daripada komposer.
“Jika sebelum ini vokal saya sangat lantang, dalam Sujud vokal lebih kepada suara angin,” kata isteri kepada pelakon Syed Aiman itu lagi.

Tiada jiwa lakonan
Menyambung bicara soal kerjaya, Linda yang dilihat semakin memperlahankan kerja lakonan menjelaskan, kesibukan menguruskan keluarga dan perniagaan termasuk jenama pakaian muslimah, LRHijab menuntuit banyak komitmen daripadanya.
Ibu kepada lima orang anak mengakui menolak banyak tawaran lakonan semata-mata mahu melihat anak membesar di depan mata.
“Saya menguruskan anak-anak sendiri, jadi masa saya untuk kembali berlakon agak terbatas. Kadangkala rasa bersalah menolak tawaran lakonan tetapi keluarga adalah keutamaan saya.
“Jika terasa rindu untuk berlakon saya tetap akan terima tawaran lakonan tetapi hanya untuk telefilem atau program-program hiburan yang tidak memakan masa lama di set penggambaran,” tutur Linda.
Berbeza dengan kerjaya nyanyian, bidang itu tidak sesekali ditinggalkan, sebaliknya sudah menjadi seperti satu terapi buat dirinya.
Akuinya, dia lebih meminati bidang nyanyian berbanding lakonan.
“Saya sebenarnya lebih minat menyanyi berbanding lakonan. Sebab itu, saya banyak tolak tawaran lakonan kerana tidak ada jiwa, tetapi nyanyian adalah satu terapi.
“Sebab itu, sampai hari ini saya masih menerima tawaran nyanyian.
“Bagi saya, apabila kita melakukan pekerjaan yang disukai dan dapat menggembirakan orang lain, ia adalah satu kebahagiaan buat saya,” luah Linda yang bakal mengeluarkan koleksi pakaian umrahnya sendiri dalam masa terdekat.















