fbpx

PM rasmi pembukaan segmen maritim LIMA’23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan segmen maritim pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) di Resort World Langkawi (RWL), di sini petang ini.

Anwar mengaktifkan kompas perasmian yang dibawa penyelam ke hadapan pentas menerusi satu penyusupan menggunakan jet ski sebagai gimik perasmian sebelum disusuli demonstrasi oleh bot maritim.

Demonstrasi tersebut mempamerkan pergerakan termasuk gerakan pantas taktikal aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Perikanan.

Satu lagi demonstrasi keupayaan maritim turut diperlihatkan dengan konsep Inter-Agency Coordinated Rescue Mission atau demonstrasi menyelamatkan tebusan.

Pasukan mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat APMM, Unit
Gempur Marin PDRM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset maritim dan udara.

Adegan terakhir adalah penerbangan lintas hormat dan sail-past yang melibatkan aset udara dan maritim yang terlibat sepanjang sesi demonstrasi sebagai penghormatan kepada para tetamu di pentas utama.

Hadir sama menyaksikan majlis ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Anwar bersama rombongan kemudian menaiki kapal TLDM bagi menerima tabik hormat daripada tentera-tentera dari negara asing.

Pada LIMA kali ini, sebanyak 40 buah kapal tentera dan agensi penguat kuasa negara ini serta tentera laut asing terlibat dalam segmen maritim.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kapal dari Malaysia melibatkan 20 kapal TLDM, tiga kapal APMM, dua milik Jabatan Laut Malaysia dan sebuah aset PDRM.

Penyertaan bagi kapal tentera laut asing pula adalah dari Amerika Syarikat, Itali, Pakistan, China, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Brunei. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI