fbpx

Dewan Rakyat: Rayuan kes kalimah Allah bertentangan keputusan Raja-Raja Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Demontrasi berhubung kalimah Allah yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada minggu lalu. - Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan penganut agama Kristian adalah bertentangan dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.

Dalam sesi soal jawab perdana menteri (PMQ), beliau berkata kerajaan memenuhi arahan sepenuhnya oleh Raja-Raja Melayu bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan sama sekali di Semenanjung dan wujud kelonggaran bagi negeri Sabah dan Sarawak.

“Keputusan yang dibuat pada tahun 1986 tak pernah dipinda oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sehingga Kerajaan Perpaduan nak pinda.

“Sekarang ini Kerajaan Perpaduan nak pinda (peraturan sedia ada). Peguam Negara berpendapat rayuan itu bertentangan dengan keputusan awal yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu.

“Saya fikir tak ada permasalahan di sini, kalau rakan sebelah sana (pembangkang) ambil pendekatan objektif, apakah tak wajar ambil keputusan sebegini (laksanakan pindaan).

“Kerajaan Perpaduan sekarang ambil keputusan meminta perkenan Raja-Raja Melayu supaya semua yang bercanggah dengan peraturan dalam semua akta dan peraturan kita batalkan jika bertentangan dengan kes yang disebut,” katanya di Parlimen hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang bertanyakan adakah pihak kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pada 15 Mei, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI