fbpx

Artis dangdut lain buat ‘konten’ sensasi, Ani Maiyuni terkena tempias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANI MAIYUNI

KUALA LUMPUR – Penyanyi dangdut Ani Maiyuni mengakui sikap segelintir penyanyi dangdut generasi hari yang kerap terjebak sensasi laman sosial telah memberikan persepsi negatif terhadap penggiat muzik sama, termasuk dirinya

Penyanyi berusia 44 tahun itu bagaimanapun sedar, kecenderungan mencipta konten media sosial  akan menarik lebih ramai pengikut, namun bukan begitu pendekatan dirinya yang selesa ‘menjual’ bakat.

“Disebabkan sikap sesetengah artis itu, saya pun terkena tempias apabila ada yang minta saya untuk komen. Dia yang cipta ‘content’ untuk dimaki, kemudian kata diri mangsa,” kata Ani yang popular menerusi lagu Sha La La itu.

Tegasnya, sewaktu zaman awal kemuncaknya sekitar awal tahun 2000, dia juga bergelek semasa mempersembahkan lagu dangdut namun tidak pula dilabel l.ucah dan dikecam kerana berdangdut.

“Dahulu waktu saya mula-mula menyanyi, saya turut bergelek tapi tiada pula dicop gelek kami lucah. Sekarang beza, penyanyi dangdut dihina dan dikecam semata-mata sebab bahan dalam sosial media.

“Jadi yang salah adalah artis itu sendiri, bukan dangdut. Apabila situasi sebegini diperkatakan, kami turut terheret sama,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pemilik nama sebenar Aishah An-Nur Osman, turut menyatakan tidak kira genre muzik apa pun, seseorang penghibur seharusnya menunjukkan imej yang baik sebagai contoh kepada masyarakat.

“Sewaktu nak jadi artis dahulu, syarikat rakaman akan cari artis yang ada sifat baik supaya boleh jadi ikutan peminat hinggakan dalam kontrak pun tak boleh ada kekasih,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Ani bakal menjayakam Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang turut dihadiri penyanyi dangdut Indonesia termasuk Siti Badriah.

Berbesar hati menerima tawaran merealisasikan sebuah persembahan mega dangdut di negara ini, penyanyi lagu Sedap itu menyifatkan penganjuran konsert sedemimian antara permulaan baik bagi pejuang irama itu.

“Dangdut mempunyai peminat tegar, cuma mungkin platform untuk penganjuran konsert besar seperti ini kurang dan diharap selepas ini banyak lagi acara seumpamanya diadakan.

“Saya akan bawakan tiga lagu dan sebuah lagu baharu yang akan saya sampaikan. Sudah tentu saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya se,epas majlis pelancaran konsert Goyang Asia Koplo Milenia di sini, semalam.

Selain Ani, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang bakal berlangsung di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada 12 Ogos depan, turut disertai Baby Shima.

Malah persembahan mega anjuran Mission Sight Sdn. Bhd itu juga membariskan artis dangdut popular Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesti Klepek Klepek dan Rhena Morena.

Tiket bagi menyaksikan konsert membabitkan penyanyi dangdut dua negara itu sudah mula dijual menerusi www.ticket2u.com. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI