ALOR SETAR – Penyakit diabetes atau kencing manis yang sebelum ini sinonim dengan golongan berusia kini mula menyerang orang muda termasuk mereka yang baharu berusia sembilan tahun.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, dianggarkan kira-kira lima peratus golongan muda di negara ini yang berusia 18 hingga 29 tahun mengalami diabetes.
Laporan sama turut mendedahkan bahawa seramai 3.9 juta individu berusia 18 tahun ke atas sebenarnya sedang menghidap diabetes.
Pegawai Dietatik Kedah Medical Centre (KMC), Mohd. Khir Izwan Ariffin berkata, jumlah golongan muda yang menghidap diabetes didapati meningkat sejak lima tahun lalu dengan usia paling muda adalah sembilan tahun.
“Hasil pemerhatian mendapati, lebih ramai golongan muda menghidap diabetes. Kalau dahulu, kebiasaannya pesakit terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke atas, namun kini ramai pesakit adalah berusia lingkungan 20-an.
“Ia berpunca daripada amalan pemakanan iaitu pengambilan banyak makanan segera, makanan atau minuman ‘hipster’ yang tinggi kandungan gula ringkas, ditambah dengan gaya hidup yang tidak aktif atau kurang bersenam kerana sibuk bekerja,” katanya ketika ditemui wartawan Kosmo! di Alor Setar baru-baru ini.
Katanya, kebanyakan orang muda kurang kesedaran tentang kepentingan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup aktif menyebabkan mereka muda menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes.

“Kita lihat banyak minuman manis yang dijual seperti air boba. Ia mempunyai kandungan gula yang tinggi dan jika diambil secara berlebihan, pengguna berisiko menghidap diabetes. Selain minuman, makanan tinggi karbohidrat jika diambil secara berlebihan juga menjadi punca.
“Ia bagaikan satu trend dan jika terus diamalkan, dikhuatiri lebih ramai akan menghidap penyakit kronik ini terutamanya golongan muda,” ujarnya.
Kata Khir Izwan, dia pernah menemui pesakit diabetes berusia sembilan tahun yang mana kanak-kanak perempuan itu dikatakan mengambil minuman berkarbonat hampir setiap hari.
“Selain itu, ada juga remaja berusia 17 tahun yang menghidap diabetes seterusnya mengakibatkan komplikasi pada buah pinggang,” ujarnya.
Katanya lagi, amalan mengambil makanan berat seperti nasi berlauk pada waktu sarapan dan makan tengah hari serta malam selain kerap meminum minuman manis seperti teh tarik turut menyumbang kepada penyakit itu.
“Amalan pemakanan itu yang biasa dilakukan golongan pesawah sejak dahulu dibawa sehingga ke hari ini.
“Contohnya di negeri utara tanah air, biasanya nasi berlauk sudah dijual pada waktu pagi, namun generasi sekarang ini kebanyakannya tidak lagi turun ke sawah.
“Mereka makan dan ambil minuman manis, tetapi tidak bekerja menggunakan fizikal seperti pesawah. Mereka banyak habiskan masa di pejabat, malah ada yang tidak bersenam,” tambahnya.
Justeru katanya, orang ramai perlu mengawal pemakanan dengan menjaga makanan atau minuman yang diambil.

“Makanlah secara berpada-pada, jangan berlebihan yang mana satu sudu teh gula yang diambil bersamaan satu senduk nasi. Rakyat Malaysia dianggarkan mengambil lebih 10 sudu teh gula tambahan sehari.
“Bagi rakyat Malaysia, pagi biasanya mereka ambil tiga sudu teh gula, tengah hari tiga sudu teh gula diikuti makan malam tiga lagi sudu. Itu tidak termasuk jika dia ambil minuman berkarbonat atau boba yang tinggi kandungan gula,” katanya.
Sementara itu, katanya, kebanyakan pengguna juga tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menghidap diabetes dan hanya mengetahui apabila melakukan pemeriksaan di klinik atau hospital ketika sakit.
“Apabila tidak tahu diri sebenarnya menghidap diabetes, keadaan akan menjadi lebih parah kerana mereka tidak boleh ambil langkah penjagaan dan mendapatkan rawatan sepatutnya,” katanya.
Tambahnya, jika tidak dikesan lebih awal, ia boleh mengakibatkan kerosakan serius kepada organ seperti jantung, saluran darah, mata, buah pinggang dan saraf.
Jelasnya lagi, diabetes merupakan salah satu daripada tiga penyakit tidak berjangkit selain hipertensi dan kolesterol tinggi yang menjadi faktor utama bagi penyakit kardiovaskular iaitu strok dan penyakit jantung.
Strok dan masalah jantung adalah penyebab utama kematian di Malaysia.














