fbpx

Mahkamah: Isu LTTE, Charles diarah mohon maaf kepada Zakir Naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakir (kanan) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Shidiqqin Zon

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago diarah memohon maaf kepada penceramah dari India, Dr. Zakir Naik berkaitan isu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang dibangkitkan dalam ceramahnya pada 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas berpuas hati kenyataan Charles yang mengaitkan penceramah itu dengan penangkapan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020, adalah berunsur fitnah.

Semasa prosiding, selepas membacakan keputusan tersebut, hakim berkenaan memerintahkan kedua-duanya yang ketika itu duduk di galeri awam agar tampil ke hadapan.

“Oleh kerana plaintif (Zakir) dan defendan (Charles) hadir hari ini, saya perintah kedua-duanya ke hadapan dan plaintif memohon maaf kepada defendan,” ujar Hakim Akhtar.

Sehubungan itu Charles kemudian memohon maaf berhubung kenyataannya yang kemudian diterima oleh Zakir.

Semasa prosiding, Hakim Akhtar ketika membacakan keputusannya, berkata, walaupun defendan menyatakan ia tidak ditujukan kepada plaintif, kenyataan berkenaan merupakan serampang dua mata iaitu satu ditujukan kepada polis dan kerajaan dan satu lagi ditujukan kepada plaintif.

Zakir selaku plaintif menyaman Charles sebagai defendan selepas pemimpin politik itu mengeluarkan komen terhadap ucapan beliau berkaitan LTTE pada 25 November 2019.

Sementara itu, Zakir turut menyaman Charles berhubung kenyataan media pada 13 Ogos 2019 bertajuk `Wednesday Cabinet meeting Must Discuss Zakir Naik’s meddling into Politics’ sebagai maklum balas kepada kepada ceramah Zakir di Kelantan pada 8 Ogos 2019.

Charles mendakwa, ceramah itu berpotensi membangkitkan rusuhan kaum dan kekacauan kerana mempertikai kesetiaan masyarakat India di negara ini.

Ketika membacakan keputusannya bagi satu lagi saman itu, Hakim Akhtar berpendapat, topik yang ditimbulkan dalam ceramah di Kelantan tidak sesuai bagi konteks rakyat Malaysia kerana isu salah faham berhubung Islam oleh bukan Islam, tidak pernah dibangkitkan.

Ujar Hakim Akhtar, meskipun wujud isu salah faham, topik itu wajar dibangkitkan dalam kalangan masyarakat bukan Islam, sedangkan di Kelantan sebahagian besar yang hadir pada ceramah itu adalah beragama Islam.

“Mahkamah bersetuju dengan defendan bahawa ceramah itu boleh membangkitkan sentimen keagamaan dan mewujudkan suasana tegang dalam kalangan pelbagai penganut agama di Malaysia,” kata hakim berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah bersetuju dengan kenyataan media Charles bahawa ucapan Zakir boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang kemudian mendapat teguran daripada pemimpin-pemimpin tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI