fbpx

KPDN Perak rampas 750 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDN Perak merampas 750 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng dalam empat tong drum atas sebuah pikap di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar hari ini.

LUMUT – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 750 liter minyak diesel disyaki cuba diselewengkan, dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar dekat sini pagi tadi.

Minyak diesel bersubsidi itu ditemui dalam empat tong drum yang diletak di dalam sebuah pikap ketika serbuan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemandu pikap tersebut yang juga seorang lelaki warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kesemua barangan seperti dokumen dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 750 liter, sebuah kenderaan jenis Hilux turut disita dan nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM31,550,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemilik stesen minyak itu juga diambil tindakan penguatkuasaan kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan dengan membenarkan mana-mana individu membuat pengisian minyak diesel ke dalam tong, bukannya tangki asal kenderaan, tanpa kebenaran atau kelulusan daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Beliau memaklumkan, satu arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) telah dikeluarkan terhadap individu yang juga pemandu kenderaan dan stesen minyak tersebut.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kenderaan pikap tersebut gagal mengemukakan suatu kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia mengenai kelulusan untuk membeli minyak diesel di stesen minyak berkenaan.

“Pemandu terbabit mendakwa pembelian minyak diesel tersebut adalah untuk aktiviti pertanian. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI