fbpx

Dewan Rakyat: FDI, 157,760 peluang pekerjaan diwujudkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 157,760 peluang pekerjaan dalam negara telah diwujudkan hasil daripada pelaburan langsung asing (FDI) sejak 2017 sehingga 2022.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong berkata, daripada jumlah tersebut 133,117 atau 84.3 peratus adalah untuk pekerja tempatan, manakala selebihnya iaitu 26,643 merupakan pekerja asing.

Tambah Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, peluang pekerjaan tersebut terhasil daripada 1,392 projek pemilikan asing bernilai RM426.6 bilion.

“Bagi sektor perkilangan, sebanyak 1,164 projek perkilangan yang melibatkan pelaburan bernilai RM329.9 bilion telah direalisasikan dan mewujudkan 150,873 peluang pekerjaan.

“Lima industri perkilangan utama melibatkan pemilikan asing yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah; industri elektrik dan elektronik (75,593 pekerjaan), barangan logam asas (14,477 pekerjaan), jentera dan kelengkapan (7,001 pekerjaan), barangan galian bukan logam (6,820 pekerjaan) dan barangan getah (5,721 pekerjaan),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang meminta menyatakan jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan hasil daripada FDI sejak 2017 hingga 2022.

Bagi sektor perkhidmatan, beliau berkata sebanyak 228 projek dengan pelaburan bernilai RM96.7 bilion telah direalisasikan bagi tempoh sama, dan mewujudkan 6,887 peluang pekerjaan.

“Tiga subsektor utama yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah; pertubuhan global (3,197 pekerjaan), perkhidmatan sokongan (1,481 pekerjaan) dan perkhidmatan kesihatan (1,303 pekerjaan),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI