fbpx

33 ADUN Kerajaan Perpaduan Perak komited sokong kestabilan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (duduk, tiga dari kanan) bercakap pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

IPOH – Kerajaan negeri Perak kekal utuh apabila kesemua 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan menzahirkan komitmen untuk terus menyokong kestabilan dalam kerajaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenyataan yang dizahirkan itu bagi menjawab kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria bahawa kononnya ada wakil rakyat kerajaan yang datang menemuinya sekali gus memberi gambaran seolah-olah wujud gerakan bagi menjatuhkan kerajaan.

“Tanpa menyertakan sebarang bukti dan asas yang kukuh, kenyataan Ketua Pembangkang DUN Perak itu sengaja dibuat untuk membentuk persepsi kononnya wujud pergeseran dan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri Perak.

“Untuk itu, saya dan rakan-rakan Exco dan semua ADUN kerajaan hari ini sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan sekali gus menafikan dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Razman sekali Ketua Pembangkang di Perak tidak patut mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya apatah lagi sekiranya ia memberi kesan kepada ekonomi negeri.

Ini kerana, jelas Saarani, pelabur tidak akan ke Perak setelah kerajaan negeri digambarkan sebagai tak stabil dan wujudnya kemungkinan pertukaran kerajaan berlaku, sekali gus menyebabkan polisi bertukar-tukar.

“Jadi ia akan mengundang kebimbangan, kekhuatiran, ketidakyakinan dalam kalangan pelabur sedangkan kerajaan yang ada sekarang ini bertungkus-lumus untuk menarik seramai mungkin pelabur dan mereka akan melabur jumlah wang yang begitu besar iaitu berbilion-bilion ringgit.

“Ia perlukan masa yang panjang untuk dia (pelabur) melabur dan mendapat pulangan semula tetapi kalau dalam tiga tahun bertukar pemimpin dan kerajaan, ia tidak akan memberi keyakin kepada pelabur. Sebab itu kita perlu tegaskan bahawa kerajaan negeri Perak kuat dan stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis terhadap Razman sekiranya beliau terus mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan dan menggugat keselamatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI