fbpx

EPL: Liga Juara-Juara ‘dalam tangan’ Manchester United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CASEMIRO menjaringkan gol tunggal buat United dalam kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth pada aksi EPL di Stadium Vitality sebentar tadi. - AFP

BOURNEMOUTH – Manchester United boleh dikatakan kini sudah ‘sebelah kaki’ untuk mengesahkan slot ke pentas Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Ia susulan kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality selain kegagalan Liverpool menewaskan Aston Villa di Anfield sebentar tadi.

Tiga mata itu amat berharga buat The Red Devils yang berada pada landasan tepat untuk menjamin kelompok empat teratas berdasarkan kelebihan tiga mata dimiliki ke atas Liverpool di tempat kelima.

Situasi itu menyebabkan United dikatakan cuma memerlukan satu mata untuk mengesahkan slot Liga Juara-Juara Eropah memandangkan mereka mempunyai baki dua perlawanan terakhir berbanding Liverpool hanya satu.

Dalam aksi sebentar tadi, pemain tengah bertahan, Casemiro muncul wira The Red Devils apabila gol tunggalnya menerusi gerakan akrobatik menghadiahkan kemenangan buat skuad bimbingan Erik ten Hag.

Casemiro berjaya meloloskan diri daripada perangkap ofsaid benteng pertahanan Bournemouth sebelum melakukan sepakan gunting hasil hantaran lambung daripada Christian Eriksen pada minit kesembilan.

United dilihat merasai ketiadaan Marcus Rashford yang tidak diturunkan dalam perlawanan itu kerana difahamkan mengalami masalah kecederaan.

Juara Piala Carabao musim ini itu berpeluang menambah beberapa gol tetapi gagal dilakukan kerana ketumpulan penyudah jentera serangan diketuai Jadon Sancho, Anthony Martial dan Antony.

Mujur penjaga gol United, David De Gea tidak melakukan kesilapan yang boleh menghukum pasukannya sepanjang 90 minit perlawanan itu untuk meraih tiga mata berharga.

Aksi seterusnya menyaksikan United menanti kunjungan Chelsea di Stadium Old Trafford pada Jumaat ini sebelum mengharungi perlawanan terakhir menentang Fulham di venue sama dua hari kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI