fbpx

K2

Rona putih serlah tata hias minimalis kafe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Susun atur ringkas menerbitkan suasana mendamaikan di kafe yang diinspirasikan daripada minimalis gaya Jepun.

RONA putih sering menjadi pilihan pada tata hias premis sama ada rumah mahupun kafe kerana warna itu bukan sahaja memberikan aura tenang tetapi turut merupakan warna selamat yang mudah dipadankan dengan warna-warna lain.

Bagi seorang pemilik kafe, impiannya untuk memiliki sebuah kafe dengan konsep dekorasi minimalis Jepun diterjemahkan dengan cukup menarik menerusi kafe Catcher In The Rye yang terletak di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor.

Pemiliknya, Chris Yap berkata, pemilihan rona putih sebagai warna utama pada kafenya itu menjadi pilihan selepas mengambil inspirasi daripada hiasan dalaman minimalis yang sering dilihatnya pada kafe-kafe di Jepun.

“Jika diamati, kebanyakan kafe di Jepun cukup ringkas tanpa banyak barangan dekorasi.

“Kafe di Jepun amat ringkas dan lazimnya bermain dengan rona putih pada tata riasnya.

“Saya sukakan ketenangan dan suasana terang yang dihasilkan daripada rona putih kosong dan tertarik untuk menggunakan rona itu pada premis saya,” katanya.

Dinding kafe dilatari rona putih sepenuhnya, manakala perabot seperti kerusi makan pula adalah daripada rona coklat kayu.

Hasilnya, ruang kafe tampak kemas dan ‘bersih’ yang menyerlahkan lagi konsep minimalis kafe.

Pencahayaan semula jadi dari luar kafe juga amat membantu mencipta suasana damai pada premis itu yang mula membuka pintunya kepada pengunjung sejak 2019.

Dekorasi minimalis sebenarnya memerlukan kos yang agak besar memandangkan ia mementingkan penggunaan perabot bersesuaian yang praktikal.

Bagi mengelak ruang kafe tampak terlalu polos dan kosong, Chris memilih jubin bercorak ringkas tetapi klasik daripada warna seakan-akan sama warna kayu pada kerusi kafe di lantai ruangan itu.

Pemilihan jubin bercorak itu juga menyuntik sedikit kelainan pada ruang kafe, namun dalam masa sama masih mengekalkan konsep minimalis yang ditonjolkan.

Hasilnya, hiasan dalaman kafe tersebut biarpun ringkas cukup mendamaikan dan nampak senada.

Bercakap tentang sudut kegemarannya di situ, Chris berkata, dia amat menyukai sudut courtyard pada kafenya yang disifatkan sebagai ruang dengan pencahayaan yang ideal.

“Ruang tersebut juga merupakan ruang kegemaran pengunjung kafe untuk merakam gambar apabila berkunjung ke sini.

“Selain itu, ruang tersebut juga cukup santai dengan konsep makan ala outdoor yang selesa,” katanya.

Kongsi Chris lagi, antara tanggapan yang sering diterima daripada orang ramai berkenaan konsep minimalis adalah ia tidak menelan belanja yang besar.

“Ramai menganggap memandangkan konsep minimalis nampak ringas dan tidak begitu banyak barang, ia tidak menelan belanja yang besar.

“Hakikatnya, konsep minimalis sebenarnya menelan belanja yang besar kerana cabarannya terletak pada penggunaan barangan yang sedikit tetapi masih praktikal,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, rona putih juga agak sukar dijaga dan perlu dibersihkan dengan kerap bagi menjadikan ia sentiasa tampak bersih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN