fbpx

Liga Super: KDA FC benam Kelantan FC 5-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KDA FC berjaya menewaskan Kelantan FC 5-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - ihsan FB Kedah Darul Aman FC

ALOR SETAR – Selepas hampir tiga minggu berehat, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menyambung perjalanan Liga Super dengan mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan FC di Stadium Darul Aman, di sini sebentar tadi.

Kemenangan ke-8 Sang Kenari dalam saingan liga itu terhasil menerusi jaringan empat pemain berbeza iaitu Kapten pasukan Manuel Ott, Lee Tuck, Manuel Hidalgo, Willian Lira dan Jonathan Balotelli.

Kedua-dua pasukan bermula hambar dengan masing-masing seakan buntu untuk membina serangan dalam tempoh 15 minit pertama sebaik pengadil, Razlan Joffri Ali meniup wisel permulaan.

Bagaimanapun pada minit ke-16, sorakan penyokong KDA FC bergema apabila Manuel Ott berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan The Red Warriors sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk gol pertama KDA FC.

Usaha pasukan tuan rumah untuk menambah jaringan diteruskan, namun percubaan sayap lincah dari Argentina, Manuel Hidalgo sekadar singgah di tiang gol kawan pelawat pada minit ke-22.

Gol kedua yang dicari akhirnya hadir lima minit kemudian apabila Hidalgo terlebih dulu memanfaatkan kelincahannya untuk melepasi kawalan beberapa pemain lawan, sebelum membuat hantaran tepat kepada Lee Tuck di sebelah kiri padang.

Pemain naturalisasi negara itu yang jelas berada dalam keadaan selesa, tidak menunggu lama untuk membuat rembatan dari luar kotak penalti menggunakan kaki kanan, bagi mengubah kedudukan menjadi 2-0 menyebelahi Sang Kenari.

Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung, KDA FC menyumbat gol ketiga perlawanan apabila Hidalgo yang tidak dikawal dalam kotak penalti, melepaskan rembatan leret bagi menewaskan penjaga gol Kelantan FC, Nik Mohd. Amin Ahmad.

Keghairahan tuan rumah untuk menambah jaringan tidak terhenti di situ dengan sepakan percuma diambil pemain import dari Tajikistan, Amirbek Juraboev dari jarak kira-kira 30 meter, hampir menerjah ke gawang pelawat.

Nik Mohd. Amin bagaimanapun jelas lebih bersedia apabila dia berada di kedudukan tepat untuk menumbuk keluar bola tersebut, bagi menyelamatkan pintu golnya dari dibolosi.

Minit ke-59, Sang Kenari dihadiahkan sepakan penalti apabila pemain tengah pasukan pelawat, Muhammad Afzal Akbar dikesan menggunakan tangan dalam usahanya mengawal kemaraan pemain muda KDA FC, Muhamad Kamil Akmal.

Penyerang utama tuan rumah, Willian Lira yang diamanahkan untuk mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang apabila mudah memperdaya Nik Mohd. Amin melalui sepakan leret, untuk gol keempat tuan rumah.

Minit ke-88, KDA FC memuktamadkan kemenangan 5-0 menjadi milik mereka apabila pemain gantian, Jonathan Balotelli bijak mencari ruang untuk melepasi perangkap offside, sebelum menewaskan penjaga gol Kelantan FC ketika mereka berada dalam kedudukan satu sama satu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI