fbpx

KPM minta polis siasat gengsterisme di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hui Ying.

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meminta pihak polis menjalankan siasatan ke atas mana-mana sekolah yang didapati berlaku unsur gengsterisme dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ini kerana KPM tidak mahu sebarang anasir-anasir luar yang tidak sepatutnya memasuki sekolah malah pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes buli melibatkan pelajar.

”Kes buli memang ada di sekolah cuma sama ada ia serius atau tidak, namun melalui media sosial ia lebih cepat tersebar, tetapi kita mesti lihat masalah ini dengan fakta.

“Sekiranya ada kes-kes (buli atau gangsterism) yang berlaku dengan tidak terkawal kita akan minta Bukit Aman (polis) untuk masuk campur,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Parlimen Tanjong, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular membabitkan kes buli di antara pelajar sekolah menengah di Butterworth yang tular di media sosial semalam.

Mengulas lanjut, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, KPM juga akan memohon pegawai perhubungan polis supaya memantau dan melakukan rondaan lebih kerap di sekolah yang mempunyai rekod kes buli agar isu tersebut dapat dibendung.

“KPM telah meminta pihak sekolah untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan yang tular di media sosial. Sekolah akan menyiasat mereka yang terlibat dan beri bimbingan kepada mangsa, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan displin.

”KPM tidak akan ulas lanjut kerana masih menunggu siasatan kes ini daripada pihak polis dan pihak sekolah juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, beliau berharap, pihak sekolah dengan bantuan pihak polis dapat menjadikan sekolah sebagai sebuah tempat yang selamat kepada para pelajar.

“Ibu bapa juga perlu memainkan penting untuk memantau aktiviti anak-anak di luar sekolah untuk memastikan anak-anak mereka selamat di sekolah dan di luar rumah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI