fbpx

DBKL pasang dinding sementara, baik pulih rumah flat Loke Yew

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DBKL memasang dinding sementara di unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

KUALA LUMPUR -Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menjalankan kerja-kerja baik pulih dinding di dalam sebuah unit rumah di Perumahan Awam Loke Yew, di sini, yang telah tercabut akibat hujan ribut semalam.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menutup serta memagar kawasan sisa dinding runtuhan menggunakan pita zebra bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di tapak sisa runtuhan dinding tersebut.

Tambahnya, dinding sementara telah dipasang di unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, terdapat juga empat unit rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor terlibat dengan insiden bumbung blok tercabut.

“Pihak DBKL telah mengambil tindakan segera dengan memagar kawasan sisa runtuhan menggunakan hazard tape untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di tapak sisa runtuhan bumbung tersebut,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kerja-kerja pemasangan kanvas sementara telah dilakukan di bumbung unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih bumbung kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, bekalan elektrik di unit terlibat juga telah diputuskan bagi tujuan keselamatan.

“Penghuni yang terlibat telah berpindah ke rumah saudara mara di kawasan berhampiran. Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka buat masa ini,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan dinding sebuah rumah flat di Kuala Lumpur tercabut akibat ribut yang melanda ibu negara, petang semalam.

Beberapa buah video memaparkan keadaan dinding bilik rumah itu yang hilang turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI