fbpx
FARAHDHIYA

Farahdhiya ‘seram sejuk’ cuba berlawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik karakter serius dan seksi, siapa sangka Farahdhiya miliki sisi ‘minah lawak’ yang hanya diketahui teman terdekat. Jika nyanyian dan lakonan sudah enteng baginya, tahun ini, pentas lawak menjadi perhitungan terbaharu pelantun Bertakhta di Hati itu.

Cantik dan berbakat juga menjadi pakej yang meletakkan nama Farahdhiya terus kukuh di persada seni tempatan.

Hampir dua dekad menggauli seni hiburan sebagai mata pencarian, si wanita putih gebu itu tetap ada posisi tersendiri biarpun bakat baharu muncul bersilih ganti.

Dalam rancak mengatur aktiviti lakonan dan persembahan pentas, anak seni berusia 39 tahun itu mengakui dihimpit rasa seram berbaur teruja apabila menerima tawaran menjadi peserta dalam program pertandingan lawak, Mega Spontan yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

Mengambil masa panjang sebelum menerima ‘lamaran’ Astro Warna selaku penyiar program terbabit, Farahdhiya akhirnya menyatakan persetujuan dengan satu misi peribadi, iaitu mencabar diri keluar dari zon selesa.

Kerap terbabit dalam drama komedi, namun untuk menjadi peserta atau menyertai pertandingan berbentuk lawak, itu satu perihal yang lain.

“Hakikatnya sampai ke hari ini saya masih seram sejuk. Sebelum menerima tawaran menyertai rancangan yang sudah memasuki musim baharu ini, saya minta diberikan masa untuk berfikir.

“Namun selepas dimaklumkan saya tidak berseoranMuka an kerana tampil berkumpulan ditambah pengisiannya lebih ke arah spontan, akhirnya saya terima kerana pada masa sama saya mahu cabar diri.

“Apa pun saya tak mampu membuang perasaan seram, sebaliknya masih berharap mampu memberikan yang terbaik dengan bantuan rakan sepasukan selain mengutip ilmu daripada ‘bootcamp’ nanti,” katanya selepas diperkenalkan sebagai peserta Mega Spontan yang bakal memulakan saingan 19 Mei ini, pada setiap Jumaat menerusi Astro Warna.

TERUJA menyertai dalam program televisyen berbentuk komedi namun Farahdhiya enggan dikenali sebagai pelawak. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Timba ilmu

Selain Farahdhiya, Mega Spontan turut disertai Naim Daniel, Ramona Zamzam, Atu Zero, Mark Adam, Noreen Iman, Sanjna Suri, Mamat Sepah dan Fadhli Masoot, manakala barisan mentor pula membariskan Sabri Yunos, Kamal Adli, Zizan Razak serta Douglas Lim.

Menurut bintang berdarah campuran itu, melihat barisan mentor sendiri sudah mampu menyuntik keterujaan untuk menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman.

“Sebenarnya dalam setiap tugasan tidak kira nyanyian, lakonan mahu pun undangan lain, kita menemui ramai individu berpengalaman yang pada masa sama turut berkongsi pelbagai ilmu baharu.

“Sama seperti Mega Spontan, saya seronok kerana berpeluang menggali kebolehan dan tidak ketinggalan mendapat ilmu baharu memandangkan bukan hanya mentor yang bagus, peserta lain juga tidak kurang hebatnya.

DALAM kalangan sahabat terdekat atau ‘geng’ , Farahdhiya sememangnya dianggap sebagai badut penghibur dengan perangai gila-gila.

Badut penghibur, gila-gila

Jauh di sudut hatinya, pemilik nama penuh Farahdhiya Mohd. Amin itu hanya melihat Mega Spontan penyertaan ini lebih kepada belajar perkara baharu, bukan untuk meletakkan dirinya sebagai pelawak seperti sangkaan segelintir pihak.

Malah dalam tempoh 19 tahun mengharungi suka duka sebagai anak seni, tidak terfikir pun dalam sanubarinya ingin mencuba untuk meneroka cabang lawak dengan lebih serius.

“Saya selesa begini, dikenali sebagai penyanyi dan pelakon. Cuma jangan salah sangka, saya tidak katakan pelawak itu tidak bagus kerana saya juga kagum dengan bakat dikurniakan kepada mereka.

“Tetapi lawak bukan ‘forte’ saya, jadi kenapa perlu saya pertaruhkan sesuatu yang saya yakin saya boleh buat tetapi tidak sebaik pelawak sedia ada,” ulas selebriti peramah itu lagi.

Menyingkap sisi lawak yang tidak diketahui ramai, hanya kalangan teman rapat sahaja melihat Farahdhiya sebagai badut penghibur yang mempunyai perangai gila-gila.

“Ada yang anggap saya serius, tetapi hakikatnya saya seorang yang ‘happy go lucky’ dan selalu buat perangai gila-gila. Cuma kena dengan orang yang betul iaitu dengan geng sendiri memang ‘menjadi’.

“Apabila saya menonjolkan sisi humor yang selama ini mungkin tersimpan kemas, itulah yang membuka ruang kepada saya untuk terbabit dalam cabang baharu iaitu seni berlawak,” katanya menutup bicara.

SEPANJANG 19 tahun dalam dunia seni, Farahdhiya tidak terfikir untuk meneroka cabang lawak dengan lebih serius.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN