fbpx

Enam juta kenderaan berada di ibu negara setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal mengenai kesesakan jalan raya di Kementerian Pengangkutan hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan purata kira-kira enam juta atau 85 peratus kenderaan berada di ibu negara setiap hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kajian dijalankan turut mendapati terdapat kira-kira 2.2 juta kenderaan masuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak iaitu antara pukul 6 hingga 9 pagi.

Menurut beliau, kira-kira 15 peratus sahaja pengguna menaiki pengangkutan awam dan jumlah tersebut masih tidak menepati sasaran Kementerian Pengangkutan untuk mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus.

“Jadi, boleh bayangkan betapa teruknya kesesakan di Kuala Lumpur? Ini adalah statistik (direkodkan) atau realiti yang perlu dihadapi setiap hari.

“Oleh itu, beberapa langkah mitigasi telah dibincangkan dan dipersetujui oleh mesyuarat iaitu cadangan DBKL melaksanakan laluan kontra melibatkan tiga lokasi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, laluan kontra itu melibatkan Tol Plus Sungai Besi ke persimpangan Besraya (dari Selatan Kuala Lumpur) yang membabitkan jarak 2.4 kilometer.

“Selain itu, cadangan tersebut turut melibatkan pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught pada jarak empat kilometer.

“Pelaksanaan laluan kontra di kedua-dua lokasi itu dibuka kepada semua jenis kenderaan persendiriaan kecuali motosikal.

“Laluan kontra ketiga adalah di Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak meliputi jarak tiga kilometer selain melibatkan pengangkutan awam sahaja iaitu bas,” jelasnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga laluan akan mula beroperasi pada 3 Julai depan bagi memberi masa kepada DBKL untuk membuat persediaan di setiap lokasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI