fbpx

Empat faktor Malaysia hilang 12 emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN Malaysia terlepas 12 pingat emas disebabkan beberapa faktor pada Sukan SEA Kemboja 2023. - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Aspek naturalisasi antara empat faktor menyebabkan Malaysia terlepas 12 pingat emas daripada sembilan jenis sukan pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang berakhir kelmarin.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, kebergantungan kepada atlet senior, isu dalaman dan kesilapan strategi turut menjadi faktor kepada ‘kehilangan’ 12 emas tersebut.

Menurutnya, sembilan sukan yang dimaksudkan itu membabitkan kriket, renang, badminton, hoki dalam dewan, berbasikal bukit, judo, jujitsu, kun khmer dan sepak takraw.

“Kriket kita berada pada tahap terbaik tetapi kita tiada maklumat tuan rumah akan menggunakan atlet naturalisasi. Ia menjejaskan peluang kita kerana tuan rumah menggunakan pemain yang bagus dari Pakistan dan India.

“Penggunaan atlet naturalisasi dibenarkan di Sukan SEA tetapi kalau dapat maklumat lebih awal, mungkin kita mampu merangka strategi lebih baik,” katanya pada sidang media Majlis Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia Sukan Sea Kemboja 2023 di MSN, Bukit Jalil pagi tadi.

KHIEW Hoe Yan menjadi penyumbang pingat emas tunggal Malaysia untuk sukan renang pada Sukan SEA Kemboja 2023. – AMIR KHALID

Ujar Jefri, sukan renang hanya meraih satu disebabkan terlampau bergantung kepada atlet senior pada tiga hingga empat Sukan SEA seperti Phee Jinq En yang sudah beraksi dalam lima edisi berturut-turut.

“Pendedahan ramai atlet baharu mampu memberi harapan pada masa akan datang. Kebergantungan kepada sesetengah atlet menyertai banyak disiplin membuatkan mereka keletihan dan tidak mampu mencapai tahap optimum,” jelasnya.

Bagi sukan badminton, Jefri menjelaskan jurang ranking pemain negara dengan Indonesia adalah sangat jauh tetapi masih ada antara mereka berjaya mencipta kejutan ke atas negara tersebut.

Sukan berbasikal bukit menyaksikan Malaysia meraih emas pada Sukan SEA Hanoi tahun lalu dalam acara merentas desa berpasukan campuran tetapi gagal mempertahankannya berikutan isu gangguan seksual.

Ia secara tidak langsung meninggalkan impak terhadap prestasi pasukan untuk melakukan persiapan lebih baik selain terpaksa menggantikan pelumba lain disebabkan masalah kecederaan.

MALAYSIA terpaksa akur meraih pingat perak acara sepak takraw doubles lelaki selepas tewas kepada Indonesia pada Sukan SEA Kemboja 2023. – AMIR KHALID

“Emas hoki dalam dewan lelaki terlepas ke tangan Indonesia akibat kelemahan di bahagian pertahanan dan gagal bertahan di minit-minit akhir sama seperti final Sukan Asia 2018 ketika skuad hoki negara tumpas kepada Jepun.

“Satu emas disasarkan dalam sukan sepak takraw tetapi Indonesia melakukan persiapan terbaik bagi disiplin doubles lelaki.

“Situasi sama berulang seperti di Hanoi dengan Indonesia tidak melakukan sebarang kesilapan ketika melakukan servis. Kita tidak dapat bersaing dengan mereka,” ujar Jefri. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI