fbpx
WARGA TUDM memberi penghormatan terakhir kepada Hendrinraj (gambar kecil) yang merupakan jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi yang maut dalam kemalangan kelmarin. - IHSAN FACEBOOK TUDM

Jurusensor senjata pesawat pejuang Sukhoi tak sempat sertai LIMA’23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Hasrat seorang jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bergelar jurulatih penerbangan tidak ke­sampaian selepas dia maut dalam kemalangan di Seberang Jaya, Pulau Pinang kelmarin.

Difahamkan Mejar Hendrinraj Pulvendiran, 35, yang menaiki kereta Proton Inspira maut dalam kemalangan dengan sebuah lori.

Pegawai TUDM itu berada di Pulau Pinang kerana mengikuti latihan bagi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA`23) yang akan berlangsung di Pulau Langkawi pada 23 hingga 27 Mei ini.

Hendrinraj berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak, Jerteh Terengganu.

Janarthanraj merenung gambar mendiang abangnya yang maut dalam kemalangan ketika ditemui di kediaman keluarganya di Seremban, semalam.

Menurut adik bongsu Hendrinraj iaitu Janarthanraj, 33, abangnya sebelum ini pernah meluahkan hasrat untuk me­nyertai kursus kejurulatihan penerbangan selepas tamat LIMA`23 dan minat itu timbul selepas kira-kira 17 tahun beliau berkhidmat dalam TUDM.

“Sejak dari kecil, abang yang merupakan anak kedua dari tiga beradik memang sudah bercita-cita mahu menjadi juruterbang bagi pesawat tempur.

“Setelah berkhidmat dengan TUDM pada tahun 2006, sedikit demi sedikit minatnya untuk menjadi jurulatih penerbangan timbul.

“Abang ada meluahkan hasrat kepada kami untuk menyertai kursus kejurulatihan penerbangan selepas tamat LIMA`23 nanti,” katanya ketika ditemui di di Seremban, semalam.

Cerita Janarthanraj, kali terakhir mereka bertemu pada Februari lalu ketika majlis perkahwinannya dan abangnya seperti biasa kelihatan gembira, peramah serta watak utama menceriakan suasana.

Menurutnya, dia yang tinggal di Pulau Pinang menerima perkhabaran mengenai abang­nya itu daripada ibunya yang memaklumkan Hendrinraj terbabit dalam kemalangan.

“Saya yang bekerja di Pulau Pinang terus ke Hospital Seberang Jaya bagi melihat ke­a­daannya. Keluarga kami ter­utamanya isteri mendiang masih terkejut dengan pemergian abang selamanya.

KEADAAN kereta dinaiki Hendrinraj yang terlibat dalam kemalangan
di Seberang Jaya, Pulau Pinang kelmarin.

“Kehilanggannya turut dirasai TUDM. Abang seorang yang sukar diganti dan dalam skuadron dia amat dihargai serta diperlukan oleh perkhidmatan kerana kepakaran yang dimilikinya.

“Dia seorang yang peramah dan sering menolong sekiranya terdapat rakan sepasukan yang dalam kesusahan,” ujarnya.

Menurutnya, ketika kejadian, abangnya itu dipercayai dalam perjalanan pulang balik ke hotelnya selepas tamat latihan.

TUDM memaklumkan mendiang meninggalkan isteri, Ann Linda Anthonysamy dan anak lelaki berusia tiga tahun.

“Mayat mendiang diuruskan pihak Pangkalan Udara Butterworth dan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Seremban bagi tatapan dan penghormatan terakhir oleh waris, ahli keluarga, saudara mara serta kenalan dan urusan pengebumian dilakukan esok (hari ini),” ujarnya.

TUDM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan pemergiannya suatu kehilangan aset sumber manusia TUDM.

“Semoga mereka tabah dan menerima ujian hidup kehilangan orang disayangi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN