fbpx

Isu kalimah Allah: Kerajaan tak ubah dasar, kenapa nak riuh-rendah? – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam (Intim) di Ipoh hari ini . - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai tindakan pihak tertentu yang menyuarakan bantahan terhadap isu penggunaan kalimah Allah di Sarawak.

Beliau berkata, ini kerana tiada sebarang perubahan dasar yang dibuat kerajaan membabitkan penggunaan kalimah Allah di Sarawak serta lain-lain negeri di negara ini.

“Dasar tak berubah. Di Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Johor tak boleh yang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

“Ini keputusan mufti-mufti, keputusan Raja-Raja Melayu. Tiada perubahan. Jadi yang heboh apa dia?” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam (Intim) di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan dan kritikan oleh segelintir pihak berhubung tindakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak dibenarkan namun dengan syarat-syarat tertentu, malah terdapat beberapa suku kaum di Sarawak yang mengunakannya (kalimah Allah) sejak ratusan tahun lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dasar kerajaan sedia ada dari zaman kerajaan terdahulu tidak kira Barisan Nasional, Perikatan Nasional sehinggalah Kerajaan Perpaduan ketika ini masih kekal.

“Tak dibenarkan istilah Allah digunakan oleh bukan Islam termasuk dalam kitab-kitab mereka. Itu keputusannya. Saya ambil begitu. Jadi semalam ketetapan Jemaah Menteri, itu dia.

“Bagaimanapun, ada masalah sikit kerana kita tak jelas dari segi custom (adat) untuk diambil tindakan, jadi kita kaji untuk perkemaskan. Supaya tak ubah keputusan iaitu perkataan Allah untuk umat Islam, di Semenanjung tiada perubahan, di Sabah Sarawak tiada perubahan.

“Di Sabah Sarawak dibolehkan dengan syarat-syarat, di Semenanjung tak dibolehkan. Itu yang kita kekalkan. Nak riuh-rendah ini pasal apa? Saya tak faham, apa yang tak kena?” katanya.

Justeru, Anwar berkata, Kabinet memutuskan untuk memperkemaskan beberapa perkara di dalam dasar tersebut dan membentangkan cadangan berkaitannya agar ia dapat diperkemaskan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja, dengan ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI