fbpx

Lelaki buntu, ah long ugut bunuh isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aman ketika membuat aduan kepada Azman di pejabat GTPM.

PETALING JAYA – Seorang lelaki buntu memikirkan nasib isterinya yang menerima ugutan bunuh daripada ceti haram atau ah long sejak beberapa hari lalu.

Mahu dikenali sebagai Aman, 40-an, dia pada mulanya tidak menyangka hasrat untuk meminjam RM200 daripada ah long menyebabkan isterinya itu kini tular di media sosial.

Katanya, selepas mengalami masalah kewangan, dia meminjam RM200 berkenaan daripada seorang along menerusi sebuah aplikasi di laman sosial.

Aman berkata, berdasarkan persetujuan dia dengan ceti haram terbabit, dia perlu membayar RM400 dalam masa 10 hari dari tarikh pinjaman.

“Bagaimanapun, ketika hendak membayar semula wang berkenaan, saya dimaklumkan perlu membayar sebanyak RM4,000 sekaligus. Saya buntu kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu dan terus diugut bertalu-talu oleh ceti berkenaan yang menghubungi saya setiap hari.

“Lebih malang, isteri saya yang juga penama dalam pinjaman berkenaan menerima ugutan bunuh jika tidak melangsaikan jumlah seperti yang diminta. Tidak tahan dengan keadaan itu, saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Cheras minggu lalu,” katanya kepada Kosmo!.

Pada masa sama, Aman turut membuat aduan kepada Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah.

Tambahnya, setiap hari ahli keluarganya akan menerima mesej ugutan menggunakan gambar kad pengenalan isterinya menyebabkan kehidupan dia dan keluarganya terganggu.

Katanya, biarpun dia sudah menyediakan bayaran mengikut kadar asal persetujuan,ceti haram berkenaan tetap mahukan bayaran RM4,000 walaupun jumlah itu jauh lebih banyak daripada yang sepatutnya.

Sementara itu Azman berkata, pihaknya mendapati pinjaman menggunakan aplikasi seperti itu menjadi trend sejak kebelakangan ini.

Ia seolah-olah ‘senjata baru’ along untuk menjerat mangsa kerana tidak perlu bersemuka selain dapat mengawal keseluruhan sistem telefon selepas pemiliknya menekan pautan diberikan.

“Saya akan rujuk isu yang berlaku kepada pengadu ke Bukit Aman dalam waktu terdekat kerana tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa,” katanya.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI