fbpx
BERSAMA semangat Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza ‘menyantuni’ sinergi bersama dua penyanyi hebat berlainan era, Jay Jay dan Ernie Zakri bergandingan di atas pentas sama, konsert Satu Suara Vol. 3.

Kemenjadian trio suara emas, Siti, Jay Jay, Ernie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONSERT Satu Suara Vol. 3 yang menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai ‘tuan tanah’ dengan menjemput dua penyanyi hebat, Jay Jay dan Ernie Zakri berlangsung cemerlang.

Sungguh! Semuanya cemerlang biarpun sebelum berlangsungnya konsert pada malam Ahad lalu, timbul desas-desus bahawa tiket konsert anjuran Yayasan Nurjiwa milik Siti tersebut kurang mendapat sambutan.

Menjadi saksi duduk di bangku audiens di dalam dewan konsert yang berkapasiti 4,000 orang tersebut, ‘persandingan’ energi antara Siti, Jay Jay dan Ernie mencetuskan fenomena tersendiri.

Justeru, apa yang dipamerkan pada malam tersebut di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur menutup suara-suara sumbang, konon-kononnya pentas pasti hambar tanpa dukungan para peminat.“Saya memang sudah jangka sebab ramai yang masih beraya. Tiket memang last minute (saat-saat akhir) dibeli orang. Orang kita memang begitu.

Siti membuktikan gelaran vokalis paling ampuh sepanjang zaman masih miliknya.

Beli tiket ‘last minute’

“Alhamdulillah, memang penuh (full house) untuk malam konsert. Ada kebimbangan sikit konsert orang tak datang, tapi perlahan-lahan kita tunjukkan apa yang akan berlaku dalam konsert, orang mula cari tiket,” kata si ‘lentera Timur’ itu kepada HibGlam, usai acara.

Ketika malam persembahan, tiada siapa dapat menafikan paduan listrik vokal antara Siti dan Ernie. Mereka memang vokalis yang sangat luar biasa.

Kebanyakan lagu popular penyanyi dua era itu diberi susunan muzik baharu. Syabas buat pemuzik terlibat yang diketuai maestro, Aubrey Suwito.

Siti menyanyikan lagu yang jarang dialunkan di depan khalayak seperti Wajah Kekasih, Kesilapanku Keegoanmu dan Janji Kasih.

Antara yang mencuri tumpuan ramai adalah intro solo Siti ketika menyanyikan lagu Siti Situ Sana Sini dengan pancaran visual di skrin yang boleh disifatkan sebagai ‘pembaharuan’, menderaskan lagi adrenalin audiens.

Ironi, kesihatan tekak Siti pada malam tersebut tidak berada pada posisi 100 peratus, namun beliau bersyukur semuanya dilaksanakan seperti perancangan asal.

“Semasa saya tunaikan umrah baru-baru ini, saya pohon doa kepada Allah supaya pulihkanlah semula suara saya.

“Alhamdulillah, banyak betul perubahan yang saya dapat rasakan selepas panjatkan doa di Tanah Suci.

“Cuaca pun sekejap sejuk sekejap panas, tetapi alhamdulillah. Malam ini (malam Ahad) semuanya berlangsung dengan baik,” katanya lagi.

PADUAN suara antara Siti, Jay Jay dan Ernie pada Konsert Satu Suara Vol. 3 mencetuskan sinergi luar biasa. – SHIDDIEQIIN ZON

Ernie ‘hilang’ suara

Berpeluang berkongsi pentas dengan idolanya, Ernie pula berkali-kali memanjatkan kesyukuran dapat berdamping dengan Siti Nurhaliza, seorang penyanyi yang sangat diseganinya sedari kecil.

“Rasanya, bukan saya seorang yang sangat mengidolakan beliau. Dapat kongsi pentas dengan orang yang sangat kita kagumi membuatkan diri seperti dalam mimpi.

“Siapa sangka, kalau dahulu tengok beliau hanya di skrin televisyen, sekarang saya menyanyi sebelah figura yang sangat saya hormati,” katanya.

Bercerita tentang dugaan merealisasikan konsert Satu Suara Vol. 3, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri mendedahkan, dia berdepan situasi agak cemas apabila kehilangan suara, pada pagi sebelum persembahan berlangsung.

“Nak dijadikan cerita, pagi sebelum konsert, saya hilang suara. Macam-macam petua saya amalkan dan siap ambil suntikan antibiotik.

“Nasib baik, suami (Syamel) yang jadi runner saya ke sini sana beli ubat. Kalau tiada dia, memang tak tahulah apa nak jadi.

“Alhamdulillah, menjelang konsert, Allah permudahkan semua urusan dan semua dirancang dapat dipersembahkan dengan baik,” ceritanya.

Ernie membuktikan masalah hilang suara sebagai satu masalah untuk beraksi sehabis baik di pentas konsert,
malam hujung minggu lalu.

Jay Jay ‘MVP’ sebenar!

Buat kebanyakan audiens, mereka mungkin tidak sabar menanti persembahan daripada Siti atau Ernie yang terkenal dengan kualiti vokal luar biasa.

Buat penulis secara peribadi, apa yang membuatkan persembahan lebih gamat dan diingati ramai adalah kehadiran Jay Jay sebagai antara bintang utama di atas pentas.
Seni bercerita di atas pentas, usikan bersulam lelucon dan gaya bintang ‘rockstar’ penuh pengalaman di dada adalah apa yang membuatkan Jay Jay wajar diangkat hero atau Pemain Paling

Berharga (MVP) ketika konsert yang berlangsung sekitar durasi dua jam tersebut.

Semua lagu dendangan Jay Jay bernuansa malar segar yang dinyanyikan bersama peminat yang hadir.

JAY JAY membuat audiens terbuai dengan alunan lagu-lagu malar segarnya.

Dendangan lagu hit seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa menjadi antara memori yang masih berbekas sehingga sekarang dicernakan pemilik nama Mohd. Fauzi Darus itu.
Belaian Jiwa sebenarnya dendangan asal Carefree (kumpulan yang pernah dianggotainya) sebelum dirakamkan semula Innuendo, menjadikan lagu tersebut malar segar.

“Terima kasih kerana menyanyi bersama saya. Versi Innuendo dan Carefree ada sedikit perbezaan tetapi kalian semua dah buat kerja yang baik semasa menyanyi bersama-sama,” ujar vokalis berusia 66 tahun itu.

Ditanya amalan kekal mantap dan bertenaga sehingga sekarang, jawab Jay Jay: “Sebenarnya, ada juga ‘mengelat’ tetapi mana yang tahu, tahulah.

“Penyanyi ada naik turun stamina, bukan setiap masa boleh nyanyi dengan nada tinggi.

“Apa pun, saya sangat bersyukur dapat berkongsi pentas dengan Datuk Seri (Siti Nurhaliza) dan Ernie. Dua penyanyi yang cukup luar biasa.”

Terima kasih Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa atas kemenjadian Konsert Satu Suara Vol. 3.

Semakin usia menjalar, Siti membuktikan orang seni juga punya tanggungjawab untuk membantu golongan memerlukan.

Sebahagian dana yang terkumpul menerusi konsert akan disalurkan bagi tujuan kebajikan, kemanusiaan, bantuan bencana alam dan pembiayaan persekolahan kanak-kanak di tadika Afwa Al Afiyah di Gaza, Palestin.

SITI menyanyikan lagu baharu berjudul Sehebat Matahari buat pertama kalinya ketika konsert berlangsung.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN