fbpx

Kanak-kanak enam tahun ‘tertinggal’ di medan selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun tertinggal di sebuah kedai makan di Medan Selera Simpang Kallang di Raub semalam.

RAUB – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun melalui detik mencemaskan apabila ‘tertinggal’ di sebuah kedai makan selepas keluarganya berhenti makan di Medan Selera Simpang Kallang di sini semalam.

Kanak-kanak lelaki berkenaan ditinggalkan keseorangan selama kira-kira empat jam sebelum bertemu semula dengan bapanya yang datang ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub.

Dalam kejadian itu kanak-kanak berkenaan singgah di medan selera berkenaan bersama keluarga dan saudara maranya yang dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas menghadiri majlis kenduri.

Difahamkan bapa mangsa pergi ke Kuala Lumpur bagi membeli alat ganti kereta selepas kereta yang dinaiki mereka mengalami kerosakan di Raub.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu kanak-kanak berkenaan ditinggalkan ketika mangsa pergi ke tandas.

“Semasa kejadian bapanya telah bergerak ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta manakala ibunya menaiki sebuah lagi kereta ke Jeli Kelantan bersama adik dan abang mangsa serta saudara-mara lain.

“Ibunya menjangkakan kanak-kanak terbabit berada bersama bapanya, manakala bapanya menyangka kanak-kanak tersebut berada bersama ibunya,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya, bapa mangsa hanya menyedari anak keduanya itu ‘tertinggal’ ketika berada di Rawang apabila dihubungi isterinya.

Katanya, kanak-kanak berkenaan telah dibawa ke balai polis pada pukul 1 tengah hari sebelum bapa mangsa menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian.

Beliau memberitahu bapa mangsa tiba di balai polis dan mengambil kanak-kanak berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

“Pihak polis menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga anak-anak dan pastikan anak anda sentiasa berada dalam jagaan anda dengan baik agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI