fbpx

Kalimah Allah: Menteri UMNO akan berbincang di Kabinet esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina

PETALING JAYA – Menteri-menteri UMNO akan membangkitkan semula isu penggunaan Kalimah Allah untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Ia susulan isu itu menjadi polemik ketika ini selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menarik semula rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu terbabit hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat kerana melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Dalam hal ini, penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu terbabit secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.

“Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai termasuk kaedah perundangan yang kukuh merangkumi rujukan perkara itu ke Mahkamah Persekutuan selain pendekatan bukan perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menegaskan UMNO akan kekal berjuang mempertahan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.

Terdahulu, KDN dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebenaran penggunaan kalimah Allah itu hanya terpakai di Sarawak dan bukan negeri-negeri lain. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI