fbpx

Bekalan air di Kulim, Kuala Muda semakin pulih 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekalan air di daerah Kuala Muda, Kulim dan Baling pulih secara berperingkat selepas paras Sungai Muda berada pada paras normal. - Foto oleh NUR SYAZWANA MANSOR/KOSMO!

ALOR SETAR – Sebanyak 95 peratus kawasan di daerah Kulim yang terjejas bekalan air akibat penyusutan paras Sungai Muda telah pulih hari ini.

Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) memaklumkan, sementara itu 60 peratus kawasan di daerah Kuala Muda yang terjejas teruk akibat insiden itu turut pulih ekoran semua loji rawatan air (LRA) di kawasan tersebut beroperasi semula sejak semalam.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air terawat di kawasan terkesan berbeza dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan sistem agihan bekalan air.

“Setakat pukul 6 petang semalam kesemua LRA yang terkesan iaitu LRA Pinang Tunggal, LRA Kulim Hi-Tech dan LRA Sungai Petani akibat penurunan paras Sungai Muda secara mendadak pulih sepenuhnya dan sudah mula beroperasi pada kadar maksimum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahya, para pengguna yang terkesan dengan gangguan itu akan menerima bekalan air secara berperingkat.

“SADA menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tambahnya, bagi meringankan beban pengguna yang terkesan, SADA menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas terutama ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Selain itu, 12 operator air turut memberi bantuan lori tangki bagi menyalurkan penghantaran air kepada pengguna yang terkesan termasuk Air Selangor, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka dan Syarikat Air Negeri Sembilan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI