fbpx

Orang Kedah ambil peluang saksi struktur asal Titi Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Struktur asal Jambatan Merdeka yang jelas kelihatan ekoran paras air Sungai Muda, Kepala Batas surut secara mendadak semalam.

SEBERANG PERAI – Paras air Sungai Muda, Kepala Batas di sini yang dilaporkan menurun secara mendadak pagi semalam menyebabkan struktur asal Titi Merdeka atau kini dikenali sebagai Jambatan Merdeka jelas kelihatan pada jarak dekat.

Penduduk Kampung Permatang Tinggi, Abdul Rahim Awang, 52, berkata, dia tidak menyangka ramai yang mengambil peluang melihat bentuk asal Jambatan Merdeka yang dirasmikan oleh Bapa Kemerdekaan yang juga bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1957 itu.

“Memang nampak jelas beberapa struktur titi asal (Jambatan Merdeka) seperti tiang-tiang titi dan laluan titi yang bersimen.

“Malah, keadaan di sini iaitu dari pukul 10 pagi semalam hingga lewat malam tadi dipenuhi orang ramai yang datang dari Kedah seperti Pendang, Baling serta penduduk sekitar dan bahagian pulau.

“Kehadiran mereka dikatakan semata-mata untuk melihat sendiri titi yang menyimpan 1001 sejarah di antara negeri Kedah dan Pulau Pinang dengan jarak dekat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bercerita mengenai kejadian semalam, Abdul Rahim mendakwa, dia telah dihubungi rakan nelayan berhubung paras air sungai yang surut secara mendadak dan menggesa untuk menambat bot agar tidak dibawa arus sungai.

“Kira-kira pukul 2 ke 3 pagi semalam, rakan saya ada menelefon mengatakan bot-bot nelayan dalam keadaan senget (condong). Jika tak tambat akan menyebabkan bot dihanyutkan arus ekoran kejadian air surut secara mendadak. Kiranya macam petandalah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI