TIADA siapa ingin sentiasa berada dalam ketakutan atau ‘menyimpan’ musuh yang boleh menjadikan perjalanan kehidupan bagai diekori bayangan ngeri.
Namun, itu yang dirasai aktor, Kamal Adli yang baharu pulih daripada kecederaan parah akibat dipukul dengan cota besi sehingga mengheretnya ke dewan pembedahan di sebuah hospital di Singapura.
Seperti pada awal insiden Mac lalu, waktu dikejarkan ke hospital pun Kamal masih tertanya-tanya, kenapa dirinya diperlakukan sebegitu.
Sehingga ke hari ini, tatkala parut luka di kepala semakin hilang pun, pertanyaan serupa tetap berulang kali berlegar bagai menunggu jawapan tidak berkesudahan.
Tunggu jawapan pelaku
Akuinya, biarlah trauma masih sesekali menghantui diri, keinginan mendapatkan kepastian daripada si pelaku onar melebihi ketakutan dialami.
Atas alasan sedemikian, pemilik nama penuh Ahmad Kamal Ahmad Adli itu bersedia kembali ‘turun’ ke tanah berdarah (Singapura) bagi memberikan keterangan di mahkamah demi sebuah keadilan.

“Kalau diberi pilihan, saya memang enggan kembali ke sana buat sementara waktu kerana masih belum hilang trauma.
“Tetapi kalau diperlukan saya tetap akan memberi kerjasama. Sebagai mangsa, saya memang mahu pelaku itu diadili dengan hukuman setimpal.
“Sewaktu dipukul, saya ada bertanya sebab apa tetapi dia diam.
“Polis pula tidak menjelaskan secara terperinci, cuma memaklumkan perkara berkenaan berkaitan isu peribadi.
“Saya hanya menunggu perbicaraan dan berharap mendapat jawapan, adakah perbuatan itu datang daripada diri sendiri atau dihantar pihak lain untuk pukul saya,” katanya pada pelancaran program Mega Spontan di ibu negara, baru-baru ini.
Pertama kali jumpa media
Pertama kali bersemuka media, selepas dua bulan berkurung di rumah, Kamal akui kes yang sedang memasuki fasa perbicaraan di mahkamah tersebut turut menjejaskan kerjaya dan kehidupannya.
Kamal menjadi terlalu takut apabila berada di tempat umum selain hilang kepercayaan terhadap orang sekeliling, menjadikan dirinya lebih selesa menyendiri atau berdiam di dalam rumah.

“Segala-galanya berubah 180 darjah. Kalau dahulu saya suka berinteraksi, keluar berjumpa orang dan suka ke tempat makan, termasuk pasar malam.
“Akhir Ramadan lalu, saya rasakan situasi ketika keluar ke bazar sangat berbeza.
“Percubaan pertama keluar membeli juadah ketika dalam proses penyembuhan menjadi amat sukar.
“Saya asyik pandang belakang rasa seolah-olah diekori dan terpaksa pulang awal sebab kurang selesa. Saya tidak pernah rasa trauma sebelum ini.
“Tetapi apabila terkena baru tahu rasanya bagaimana sampai jadi takut keluar rumah dan tidak membuat apa-apa hantaran dalam media sosial,” luahnya yang bersyukur mendapat sokongan insan terdekat terutama isteri.
Sayu
Berikutan fasa penyembuhan, dia juga terpaksa menolak dua tawaran kerja yang telah dipersetujui sejak awal dan hanya tinggal saja di rumah sepanjang tempoh tersebut.
Sebagai suami, jauh di sudut hati, Kamal berasa sayu dan tidak seronok melihat cinta hatinya, Uqasha Senrose pula yang terpaksa keluar bekerja sendirian.
“Rasa macam saya pula jadi suri rumah.Sepanjang dua bulan ini memang saya terpaksa lupakan beberapa tawaran kerja yang telah dipersetujui.
“Mujur produksi faham selain turut mendoakan kesihatan saya.
“Ikut hati memang tertekan, cuma siapa kita mahu menolak takdir.
“Saya pun kena kuat demi isteri, keluarga dan mereka yang tak putus bagi sokongan sejak serangan itu sampai ke hari ini. Saya mahu bangkit,” katanya lagi.
Kamal turut menzahirkan rasa syukur apabila kecederaan yang dialami semakin pulih selain sudah boleh kembali menjalani rutin harian seperti biasa.
“Saya cuba juga hafal dialog seorang diri dan ternyata okey. Saya sangat bersyukur sebab kecederaan yang berlaku ketika itu tidak teruk sangat.
“Doktor kata kalau kena pada bahagian bawah dekat leher mungkin keadaannya lain pula. Cuma sekarang saya berdoa benda ini tak berulang lagi kepada saya dan orang lain,” ujarnya.
Bukan salah Uqasha
Ditanya tentang luahan ‘teori’ si isteri dalam media sosial berhubung beberapa pihak yang dikaitkan sebagai suspek dalam kejadian tersebut, Kamal berkata, itu hanya pandangan peribadi Uqasha.

“Mungkin ketika itu fikirannya terganggu dan dia dengar cerita daripada pelbagai pihak mengenai isu ini. Jadi dia luahkan dalam media sosial.
“Saya pun tak nak cakap Singapura bahaya sebab saya sudah banyak kali ke sana dan tiada berlaku apa-apa pun.
“Mungkin selepas ini, jika rakan artis lain, terutama yang sedang popular mendapat jemputan ke sana, mereka kena tingkatkan kawalan keselamatan.
“Sebenarnya tidak kira di mana pun, bukan artis saja yang perlu berwaspada sebab kita tak tahu niat seseorang,” tambah Kamal lagi yang menolak menggunakan khidmat pengawal peribadi buat masa ini.
Semasa kejadian pada 13 Mac lalu, Kamal mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi di Singapura.
Bintang drama Selepas Terlepasnya Akad itu kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan.
Susulan itu, pelaku didakwa di Mahkamah Negeri Singapura pada 14 Mac lalu.
Jika disabit kesalahan terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman berkenaan.














