fbpx

Gimik operasi tanah runtuh simbolik Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN JBPM melakukan gimik menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di Melaka hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Gimik pelancaran operasi penyelamatan seorang kanak-kanak yang terperangkap akibat tanah runtuh menjadi simbolik Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini, hari ini.

Persembahan penuh emosi itu disaksikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Dalam persembahan tersebut, mangsa dilihat diselamatkan oleh pasukan bomba dalam keadaan memeluk erat plat simbolik yang kemudiannya diserahkan kepada Abdul Wahab sebagai tanda penghargaan atas bakti ditaburkan kepada negara.

Majlis itu turut menampilkan keluarga Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh, pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah yang terkorban semasa operasi penyelamatan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, pada 20 Oktober 2021.

Terdahulu, acara dimulai dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk Pahlawan Wira Merah oleh Penolong Penguasa Bomba, Seri Tuti Hadayanti Salleh dan Pegawai Bomba Mohd. Fauzi Jamikah.

Ia diteruskan drngan perarakan kontinjen, aset-aset JBPM dan pertunjukan persembahan kebombaan oleh pasukan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

Secara keseluruhan sebanyak 30 kontinjen dan 54 unit jentera membabitkan penglibatan lebih 1,330 peserta telah menjayakan perarakan berkenaan.

Acara sambutan juga diserikan dengan perarakan jentera High Performance Pump Modul, Foam Tender, Water Tanker serta lintas hormat Helikoper Agusta 109E, Agusta Westland AW 189 dan Mi-17.

Seramai lebih 3,000 pengunjung mula berkumpul di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan sejak pukul 8.30 pagi tadi bagi meraikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 itu. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI