fbpx

Liga Super: JDT kenduri gol kalahkan Kelantan United 6-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGSON meraikan jaringan hatricknya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. FOTO RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi kenduri gol di Stadium Sultan Ibrahim, di sini apabila menewaskan pasukan tercorot, Kelantan United FC (KUFC) 6-0 pada aksi Liga Super, sebentar tadi.

Kemenangan itu mengukuhkan Harimau Selatan di persada dengan mengumpul 30 mata daripada 10 perlawanan, lapan mata di hadapan pencabar terdekat iaitu Sri Pahang FC dan Selangor FC.

Skuad kendalian Nazrulerwan Makmor bertahan dengan baik pada awal permainan dengan menutup ruang buat pasukan tuan rumah daripada membuka jaringan terlalu awal.

Namun, keadaan itu tidak bertahan lama apabila penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva melepaskan rembatan deras dari jarak 25 meter melepasi jangkauan penjaga gol Ahmad Asyraaf Omar pada minit kelapan.

JDT berjaya menambah jaringan menerusi Fernando Forestieri apabila memanfaatkan lorongan Leandro Velazquez dengan melepaskan rembatan lerek ke penjuru kanan gawang KUFC.

Bersambung babak kedua, pasukan benteng Kijang Hijau tampak liat untuk dibolosi setelah ramai pemain lebih banyak berkampung seakan mahu mengelak kekalahan dengan jaringan lebih besar.

Kelantan United tidak hanya berdiam diri dan melancarkan serangan balas ke kubu JDT namun tiada sentuhan penyudah menyebabkan mereka gagal menembusi benteng terakhir pasukan tuan rumah itu.

Setelah bertali arus melakukan serangan, benteng KUFC bolos jua pada minit ke-62 apabila Bergson yang menerima hantaran Forestieri dan berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol melakukan sepakan lambung ke arah gawang yang kosong itu.

Pada minit ke-69, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah penjaga gol, melakukan terjahan terhadap Forestieri dan penyerang sensasi kelahiran Brazil itu melengkapkan jaringan hatriknya selepas menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Skuad Kijang Hijau yang belum merekodkan sebarang kemenangan pada musim ini terus dirundum malang apabila pengadil perlawanan sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat JDT setelah Bergson dijatuhkan Fauzan Fauzi pada minit ke-72.

Leandro tidak berdepan tugas sukar untuk menambah jaringan buat Harimau Selatan dengan menyempurnakan sepakan itu sekali gus melengkapkan satu lagi kemenangan dengan jaringan yang besar.

Tidak terhenti di situ, JDT tidak menunjukkan isyarat memperlahankan permainan sebaliknya berusaha memburu jaringan.

Sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Forestieri sempat menambah jaringan bagi menambah derita pasukan pelawat yang terus menghuni tangga tercorot liga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI