fbpx

Sasar 500 unit pembinaan Rumah Mesra Rakyat di Kelantan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Noor Azman (tengah) menyampaikan replika kunci kepada penerima RMR pada Majlis Penyerahan Kunci dan Penghargaan RMR SPNB di Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan pembinaan sebanyak 500 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) khusus kepada pemohon di Kelantan pada tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, sasaran itu membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta subsidi daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, peruntukan berkenaan disalurkan berikutan sambutan yang amat baik diberikan oleh rakyat Kelantan terhadap permohonan RMR.

“Sehingga kini, kita menerima sebanyak 13,719 permohonan daripada pemohon di Kelantan sejak RMR diperkenalkan pada 2002.

“Sepanjang Januari sehingga April tahun ini, sebanyak 740 jumlah permohonan diterima di Kelantan dan 662 permohonan lagi masih dalam senarai menunggu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci dan Penghargaan RMR SPNB di Hotel Perdana di sini hari ini.

M. Noor Azman berkata, sebanyak 9,260 unit RMR telah dibina di Kelantan dengan melibatkan peruntukan subsidi sebanyak RM185 juta sepanjang 21 program itu dilaksanakan.

Katanya, jumlah berkenaan menunjukkan bahawa Kelantan merupakan negeri yang mempunyai jumlah pembinaan RMR tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“KPKT amat menghargai penerima-penerima RMR di Kelantan yang mencatatkan rekod pembayaran semula pinjaman yang baik kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Trend aliran pembayaran itu telah membantu SPNB untuk membuat pusingan modal awal bagi pembinaan unit RMR yang lain. Secara tidak langsung, pemilik RMR di Kelantan telah menyumbang kepada pembinaan lebih banyak unit RMR di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI