fbpx

Mahu kawal diabetes, ubah gaya hidup usah malas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

SEJAK sekian lama, diabetes menjadi satu masalah yang se­ring ‘menghantui’ kebanyakan masyarakat di negara ini selain kolesterol.

Malah, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati, kadar prevalens atau peratusan orang dewasa yang mempunyai diabetes menunjukkan peningkatan sebanyak 63 peratus.

Malaysia juga adalah antara negara tertinggi di dunia yang berhadapan dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan satu daripada lima orang dewasa mempunyai diabetes.

Pakar Perunding Kanan Endokrinologi, Datuk Dr. Zanariah Hussein berkata, diabetes adalah keadaan yang mana kandungan gula darah seseorang itu sentiasa tinggi.

Menurutnya, gula yang tinggi berpanjangan adalah serius kerana ia mengundang pelbagai komplikasi.

Ia termasuk serangan jantung, strok, kerosakan buah pinggang, kebutaan, kerosakan saraf yang boleh melumpuhkan dan amputasi kaki.

“Sejak sekian lama, ahli penjagaan perubatan dan pesakit banyak bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal paras gula darah tinggi dan tidak di­nafikan ubat adalah penting sekiranya disahkan perlu.

“Namun demikian, sekiranya pesakit tidak membuat sebarang perubahan gaya hidup dan terus menjalani gaya hidup yang tidak sihat, mereka mungkin akan memerlukan dos yang lebih tinggi atau lebih banyak ubat-ubatan,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Panel Pakar Program Gaya Hidup Diabetes (DLP) kepada Kosmo!.

Tambahnya, kajian juga telah membuktikan perubahan gaya hidup akan turut memberi kesan positif.

Menurutnya, pengurusan diet, gaya hidup aktif, pemantauan gula darah secara kendiri dan penurunan berat badan merupakan langkah asas dalam menguruskan diabetes.

“Kelestarian perubahan gaya hidup dan mengekalkan penurunan berat badan akan mengurangkan paras gula darah, kolesterol dan tekanan darah, serta jumlah ubat yang diperlukan.

“Kami mahu semua orang menyedari bahawa perubahan gaya hidup adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dan akan mendatangkan manfaat yang besar untuk kesihatan kita.

“Contohnya, merancang saiz hidangan nasi, sumber protein dan sayur-sayuran berdasarkan prinsip pinggan sihat atau ‘suku-suku-separuh’ akan menjamin diet yang seimbang dan memenuhi keperluan pemakanan pesakit,” jelasnya.

Tambahnya, pemilihan bijirin penuh dan makanan yang tinggi serat yang mengambil lebih masa untuk dicerna akan membantu mengelakkan peningkatan gula darah mendadak yang lazim berlaku apabila kita mengambil karbohidrat terproses.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Dr. Sri Wahyu Taher berkata, melalui perubahan gaya hidup yang berterusan untuk satu tempoh masa kadar gula dalam darah dan berat pesakit akan turun, sekali gus me­ngurangkan jumlah pengambilan ubat.

“Sekarang ini, kita ada konsep remission of diabetes yang bermakna kadar gula yang tinggi kepada gula yang rendah.

“Apabila kadar gula rendah, pesakit tidak memerlukan ubat dan menjalani gaya hidup sihat,” katanya.

Tambahnya, dengan cara berkenaan beliau berharap kadar prevalens diabetes di negara ini dapat dikurangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI