fbpx

Disangka haiwan buruan, lelaki mati ditembak bapa saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selaras senapang patah buatan sendiri dirampas dalam kejadian di tembak di kawasan hutan simpan Bukit Pelanduk, Machang hari ini. - Foto ihsan polis

MACHANG – Seorang lelaki tidak sengaja menembak mati anak saudaranya dengan senapang patah buatan sendiri selepas menyangka mangsa haiwan buruan semasa berada kawasan hutan simpan Bukit Pelanduk di sini hari ini.

Kejadian berlaku ketika suspek yang berusia 39 tahun bersama mangsa, Muhamad Hasnizi Che Hasmi, 26, memburu haiwan di kawasan hutan simpan Ulu Sat di sini kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian selepas menerima laporan daripada suspek kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Menurutnya, sebaik menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Machang bergegas ke lokasi di belakang Pejabat Perhutanan Bukit Batu Tapong di sini sebelum telah menemui mayat mangsa.

“Anggota polis turut menemui selaras senapang patah buatan sendiri, sebutir kelongsong peluru penabur dan empat butir peluru penabur.

“Siasatan mendapati, suspek tidak sengaja menembak mangsa kerana menyangka anak saudaranya itu binatang buruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Adli memberitahu, mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan dengan bantuan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat.

Menurutnya, hasil semakan mendapati, suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Tambahnya, suspek akan ditahan reman esok di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, isteri mangsa, Shahirah Shakri, 25, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa mangsa kira-kira pukul 9.30 pagi tadi selepas dihubungi oleh ibu mentuanya.

Katanya, Muhamad Hasnizi keluar dari rumah kira-kira pukul 6.30 petang semalam untuk memancing di sungai di kawasan hutan.

“Sepanjang berada di hutan, saya tidak dapat menghubunginya kerana tiada rangkaian telefon.

“Saya terkejut selepas ibu mentua memaklumkan suami meninggal dunia kerana ditembak oleh pemburu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Machang sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI