fbpx

12 PATI diberkas, senjata api, peluru hidup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SHOKRI (dua dari kanan) menunjukkan sepucuk pistol dan barangan lain yang dirampas polis di IPD Padang Besar, di sini hari ini.

PADANG BESAR – Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup senjata api dan migran selepas memberkas 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi di Chuping, di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, sepasukan 12 anggota dan pegawai dari Kompeni D Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang menjalankan rondaan Ops Taring Wawasan Kedah/Perlis sebelum terserempak dengan kumpulan migran tersebut.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, PGA kemudiannya menahan tujuh lelaki dewasa berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.

“Selain itu, PGA turut menahan tiga wanita berusia 27 hingga 47 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berumur satu hingga sembilan tahun.

“Kesemua mereka dipercayai warga asing itu ditahan di kawasan semak KTJ Pos C32 tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika sidang akhbar, di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shokri, pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu sarung pistol berwarna hitam, sepucuk pistol semi automatik jenis Desert Eagle 9 milimiter (mm) buatan Israel dalam sebuah beg hitam yang disandang salah seorang suspek.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek dipandu arah oleh seorang lelaki warga asing yang tidak dikenali untuk memasuki Malaysia selepas membuat bayaran sebanyak RM3,000 kepada ejen untuk mencari kerja di negara ini.

“Suspek berusia 22 tahun yang membawa pistol itu pula dipercayai keldai senjata api selepas memberitahu bahawa dia diminta oleh lelaki dipercayai ejen untuk membawa beg hitam tersebut dan akan diambil oleh lelaki lain dipercayai ejen penyeludupan migran di sebelah Malaysia,” jelasnya.

Tambah Mohd. Shokri, ketika diberkas di kawasan berbukit yang semak, gelap serta dipenuhi lalang, kesemua suspek dalam keadaan keletihan selepas berjalan kaki dan tidak bertindak agresif ketika ditahan anggota polis.

Katanya, polis turut merampas sejumlah wang tunai dari Malaysia, Thailand dan Myanmar berjumlah RM649, sekeping pasport, 16 butir peluru hidup, sepucuk pistol, satu sarung pistol dan beberapa telefon bimbit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI