fbpx

MoU kerajaan Malaysia, UK perkukuh jalinan kerjasama sektor pendidikan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Susan Acland-Hood (kanan, duduk) menandatangani dokumen MoU bersama Abdul Razak (kiri, duduk) di London, United Kingdom baru-baru ini.

PETALING JAYA – Kerajaan Malaysia dan United Kingdom (UK) menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masing-masing telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi bertujuan memantapkan jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan kedua-dua negara.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan KPT, MoU itu antara lain akan mengukuhkan lagi kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara bagi membolehkan lebih ramai penuntut UK melanjutkan pengajian di Malaysia dan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar.

“Pertukaran pelajar antara kedua-dua buah negara akan memberi pendedahan dan perspektif yang lebih luas kepada pelajar Malaysia untuk memahami dengan lebih jelas mengenai sosio-budaya pelajar antarabangsa.

“Kerjasama pendidikan di peringkat antarabangsa secara tidak langsung akan merangsang Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara untuk terus bersaing dalam penawaran program pengajian yang berkualiti demi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di institusi masing-masing.

“Manakala kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa dari UK akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pertukaran mata wang asing,” jelas kenyataan tersebut.

Kerjasama yang termeterai akan memberi manfaat besar kepada sistem pendidikan tinggi kedua-dua buah negara untuk jangka masa panjang.

Dalam majlis tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Malaysia, manakala Setiausaha Tetap bagi Pendidikan UK Susan Acland-Hood mewakili kerajaan United Kingdom.

Selain itu, antara skop kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi yang dicadangkan adalah merangkumi perkara-perkara seperti memantapkan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan saintifik dan latihan bakat antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Bukan itu sahaja, usaha sama tersebut bakal melaksanakan pertukaran kakitangan akademik, guru, pelatih, pakar dan pelajar antara institusi pendidikan tinggi (IPT) selepas berunding dengan KPT Malaysia dan Department of Business and Trade (DBT) mengenai program yang akan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

“Menerusi MoU ini, kedua-dua negara mampu untuk menyediakan platform latihan kepada pentadbir pendidikan dan guru termasuklah yang terlibat dengan latihan dalam perkhidmatan.

“Ia juga turut menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh kedua-dua pihak, melaksanakan program dua hala antara institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh kedua-dua buah negara yang akan memberi faedah bersama,” jelas kenyataan itu lagi.

Bukan itu sahaja, menerusi perjanjian tersebut juga, kedua-dua kementerian turut berusaha ke arah melaksanakan pemindahan kredit dan program yang serupa antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua pihak dan kemungkinan pengiktirafan bersama untuk kelayakan akademik.

“Manakala skop terakhir adalah kedua-dua negara mampu untuk saling membantu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM), Teknologi Informasi Dan Komunikasi (ICT), Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET), inovasi, pembelajaran dalam talian, pembelajaran sepanjang hayat dan keusahawanan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI