fbpx

Mahkamah: Esok bermula bicara ubah wang haram Rosmah depan hakim baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di hadapan hakim baharu di Mahkamah Tinggi di sini selama 14 hari bermula esok.

Hakim baharu yang akan mendengar perbicaraan kes kedua Rosmah itu ialah, hakim K.Muniandy yang mana menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Perbicaraan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijangka akan mengambil masa 14 hari.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu adalah pada 12 Mei, 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai, 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September ini.

Mengikut pertuduhan, Rosmah, 72, didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Pada April lalu, Rosmah menarik balik rayuannya berhubung permohonan menggugurkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Berdasarkan notis pemberhentian difailkan menerusi Tetuan Geethan Ram pada 1 Mac lalu, Rosmah, 71, selaku perayu menarik balik rayuan itu yang difailkan melalui notis rayuan bertarikh 29 April 2022.

Sehubungan itu, rayuan itu disifatkan sudah ditolak mengikut peruntukan dalam Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Untuk rekod, pada 1 September tahun lalu, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI