fbpx
RAMLI SARIP

Ramli Sarip belum ‘lelah’ berkarya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JALUR kembara Datuk Ramli Sarip yang digelar Papa Rock dalam dunia muzik tempatan ini dipenuhi pelbagai warna, sekaligus menyuntik rasa tersendiri dalam diari kehidupan.

Lebih separuh abad meneruskan langkah sebagai pejuang lagu berpaksikan kemanusiaan, ketuhanan serta kritikan sosial membuatkan peminat meletakkan figura berusia 70 tahun ini sebagai ikon.

Karya bagi manfaat

Namun dihamburi pujian tidak pernah membuatkannya mendabik dada atau bermegah, sebaliknya menganggap penghormatan insan sekeliling sebagai pencetus semangat untuk menghasilkan karya lebih baik.

Biar bertaraf legenda, keperibadian serta tutur katanya sentiasa tertib seperti bait lirik yang digarap sendiri menggambarkan tata susila seorang individu paling tepat untuk dijadikan contoh teladan.

“Saya hanya pencerita yang menterjemah pemerhatian mengenai situasi sekeliling dalam bentuk naskhah dendangan untuk dikongsi dengan khalayak.

“Andai diterima ramai saya sudah cukup bersyukur terutama jika karya itu mampu menyentuh sanubari dan berita manfaat. Diberi penghormatan, itu bonus,” katanya.

Cipta lagu 15 minit

Memaklumkan tidak mempunyai formula tertentu dalam memastikan lagu ciptaannya menjadi siulan serta malar, dedah Ramli kebiasaannya lagu yang dicipa ketika terdesak bertahan lama.

“Saya teringat dulu didatangi bapa kepada penyanyi Ruhil Amani, Allahyarham Hussien Ali yang meminta saya menghasilkan lagu untuk penyanyi muda itu.

“Ketika itu kita dalam era 1980-an. Jadi saya ambil gitar dan terus ‘goreng’ melodi yang tidak sampai pun beberapa minit siap dengan  judul Kawan.

RAMLI SARIP bakal muncul dalam sebuah konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 13 Mei ini.

“Datuk M. Nasir pun pernah cari saya bertanyakan kalau ada lagu untuk dibuat rakaman di studio. Masa itu saya bawa perakam kaset dan beberapa minit kemudian terhasil Lagu Untuk Teman.

“Sentuhan lain yang tidak dapat saya lupakan adalah Doa Buat Kekasih yang dapat disempurnakam dalam tempoh 15 minit,” ulasnya yang turut merealisasikan lagu Ku Di Halaman Rindu nyanyian Lefthanded dalam tempoh singkat.

Tidak terfikir bersara

Menyelak semula portfolio bekas vokalis band tersohor Sweet Charity  ini, sememangnya bagai tiada lelah untuknya meneruskan kelangsungan dalam arena serba mencabar itu.

Tiada pernah terdengar atau terdetik daripada bibirnya bahawa dirinya sudah letih menabur bakti atau ingin bersara daripada kerjaya dicintai itu.

“Sejujurnya saya tidak tahu berapa lama boleh bertahan atau diterima lagi. Sekarang usia saya 70 tahun dan mudah-mudahan jika Allah beri saya bonus kesihatan lagi, saya masih ada satu rangsangan hari nak bekerja.

PADA usia 70 tahun Ramli masih belum terfikir untuk berhenti daripada menghiburkan peminat kesayangannya.

“Apabila setiap hari dapat bekerja, rasanya menyeronokkan. Banyak idea baharu dan benda saya boleh teroka yang kemudian saya kongsi pula dengan khalayak pendengar.

“Saya juga berpeluang belajar sesuatu daripada insan sekeliling. Jadi tidak kira persembahan kecil atau sebesar mana pun, tapi saya tetap sampaikan wadah yang perlu dirasa.

“Dalam perjalanan ini, yang  dicari ialah nikmat kesyukuran apabila dendangan saya masih diingini untuk halwa telinga,” ujarnya yang bakal tampil di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 13 Mei ini.

Konsert Syair Timur di DFP

Menurut Ramli, Konsert Syair Timur  diilhamkan daripada album Syair Timur terbitan 1997 itu bakal menyajikan 17 lagu dengan iringan lapan pemuzik diketuai Roza Rasul.

Kali keempat menjayakan persembahan di gelanggang berprestij itu, katanya persembahan istimewa terbabit menterjemahkan inti pati dalam album kerohanian dengan elemen muzik fusion tradisional yang segar.

“Persembahan ini nanti merangkumi santunan kepelbagaian irama yang diserlahkan bersama lirik mendalam, selain diselitkan segmen penghormatan terhadap seorang seniman yang memberi impak terhadap perjalanan hidup saya.

“Ini adalah penghormatan kepada sahabat. Apa yang menyentuh hati, juga akan saya kongsikan kerana saya percaya dalam memberikan kejujuran. Seni itu sesuatu yang suci.

“Kalau anda masih ada ibu dan ayah yang minat dengan konsert ini, bawa mereka datang. Pasti mereka akan menyukai konsert ini,” tambah penyanyi dihormati ramai itu.

Terdahulu, Ramli julung kali beraksi di gelanggang gah itu pada 2010 dan sebelum itu menjadi penyanyi undangan untuk konsert Datuk Khadijah Ibrahim (2008) selain Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (2017).

Bagi Konsert Syair Timur, kadar tiket bermula daripada RM550, RM338, RM298, RM258 dan RM198, manakala maklumat lanjut boleh layari di laman web rasmi www.dfp.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN