SETIAP kali pulang ke kampung halaman, pasti kenangan ketika kecil sentiasa mengimbau di fikiran.
Selepas penat bermain bola sepak sebelah petang, semua akan ‘berkubang’ di dalam sungai. Jika hari minggu lagi hebat, pagi-pagi sudah terjun sungai, lapar pulang makan, petang sambung lagi. Macam-macam aktiviti dibuat, ada sahaja idea.
Cuti panjang hujung tahun lain pula cerita, pagi-pagi memancing ikan puyu, malam memasang taut. Esoknya kalau ada rezeki bawa pulang ikan belida atau ikan baung.
Masa berlalu pantas, hari ini sungai masih ada tetapi mengalir lesu, tiada lagi riuh-rendah kanak-kanak bermain sungai. Masing-masing leka dengan dunia sendiri menghadap telefon bimbit.
Semua orang seolah-olah hanyut di alam maya, tiada lagi sembang mesra jika bertemu. Begitulah kepantasan teknologi dan dunia siber yang mengubah hampir segala-galanya dalam kehidupan kita.
Malangnya, penyediaan prasarana liputan internet di sesetengah kawasan pada hari ini masih terlalu perlahan, tidak seperti lajunya ciptaan telefon bimbit dengan 1,001 fungsi. Di tangan kita kini bukan lagi alat untuk menelefon tetapi berfungsi seperti sebuah komputer peribadi.
Di kampung halaman penulis sendiri, didapati talian yang digunakan hampir dua dekad masih pada tahap Edge. Dahulu sebelum muncul telefon pintar, sekitar tahun 2005 penulis menggunakan liputan GPRS untuk menghantar teks dan gambar ketika bekerja.
Selepas itu barulah diperkenal teknologi Edge yang lebih dikenali sebagai 2.5G dan kemudian dipertingkat kepada 3G, 4G dan kini diuarkan-uarkan dengan keupayaan 5G.
Bayangkan teknologi Edge yang sepatutnya sudah menjadi sejarah dan pupus seperti dinosaur masih terpampang di bucu atas telefon bimbit penulis.
Itulah realiti yang terpaksa dihadapi meskipun kampung cuma terletak sekitar lima kilometer sahaja dari bandar Cukai. Agaknya, penduduk di situ masih lagi dalam kategori masyarakat pedalaman yang tidak memerlukan teknologi dalam kehidupan.
Apa yang kita boleh lakukan hari ini dengan liputan Edge? Dengan keupayaan 3G sekali pun ramai peniaga secara dalam talian sering merungut live mereka sering lag (tersekat-sekat) dan perlahan seperti siput.
Keadaan itu kelihatan bertentangan dengan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang menyasarkan pencapaian 100 peratus liputan internet menjelang 2025 (dua tahun sahaja lagi).
Kita agak musykil apakah liputan internet 100 peratus yang dimaksudkan itu pada keupayaan GPRS, Edge, 3G, 4G atau 5G? Semoga Jendela itu terbuka luas dan bukan sekadar hiasan cuma cantik pada pandangan.














