PETALING JAYA – Tindakan syarikat konsesi yang mengawal projek kerajaan seperti pembinaan jalan, longkang dan memotong rumput menjadi punca kerja-kerja untuk kontraktor Kelas F semakin menguncup hingga menyebabkan sebahagian mereka terpaksa gulung tikar.
Difahamkan setiap negeri mempunyai tiga hingga lima syarikat konsesi yang akan mengawal projek-projek kerajaan sejak ia diwujudkan lebih 10 tahun dahulu.
Syarikat konsesi itu pula dengan sewenang-wenangnya akan mendapat untung atas angin daripada setiap projek yang diagihkan kepada kontraktor tanpa perlu mengeluarkan modal atau membayar gaji pekerja.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada projek-projek yang diagihkan oleh kerajaan kepada syarikat konsesi tersebut.
Katanya, tindakan itu akan menyebabkan projek-projek kecil melibatkan peruntukan antara RM100,000 hingga RM200,000 bagi kontraktor Kelas F dikawal dan dimonopoli pihak konsesi.
“Sebelum ini kebanyakan projek kecil diuruskan dan dikawal selia oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya.
Berita berkaitan: 100 kontraktor berebut-rebut dapatkan satu projek kerajaan
“Namun, sejak ia diagihkan kepada syarikat konsesi, saya lihat banyak keburukan yang berlaku. Sebagai contoh jika konsesi menerima kerja menurap jalan bernilai RM32 satu meter persegi, konsesi beri kontraktor RM19, manakala baki RM13 mereka ambil,” katanya.
Menurut Tukiman, situasi itu menyebabkan syarikat konsesi dengan sewenang-wenangnya membuat untung atas angin kerana mereka tidak perlu modal dan membayar gaji pekerja kerana ia ditanggung oleh kontraktor yang melakukan projek berkenaan.
Tambahnya, keadaan itu akan menyebabkan kontraktor melakukan kerja asalkan siap dan tak berkualiti.
“Mereka terpaksa berjimat sekali gus menyebabkan turapan berkualiti rendah dan hanya mampu bertahan kurang dari setahun berbanding sepatutnya iaitu 36 bulan,” katanya.
Ujar Tukiman, lebih memburukkan keadaan apabila syarikat konsesi lambat membuat pembayaran kepada kontraktor antara tiga hingga enam bulan berbanding 14 hari sekiranya projek diagihkan oleh agensi kerajaan.
Berita berkaitan: Ada kontraktor jadi penoreh, tukang rumah selepas tiada projek
“Apabila pembayaran tergantung, ia akan menjejaskan modal pusingan kontraktor untuk membayar gaji pekerja dan pembekal bahan binaan,” katanya.
Menurut Tukiman, kontraktor juga tidak dibenarkan membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana pihak bagi projek yang diperoleh melalui syarikat konsesi.
“Saya merayu supaya kerajaan segera menghapuskan agihan seperti itu dan terus menyalurkannya kepada kontraktor menerusi undian dan cabutan bagi membolehkan Kelas F terus bernyawa,” katanya.
Tukiman turut menyatakan kerisauan mengenai kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman kepada kontraktor kecil.
“Kami terpaksa menanggung beban pinjaman bank yang semakin meningkat dan sewaan pejabat serta bahan mentah binaan yang dijangka naik,” katanya.
Dalam pada itu, Tukiman mendakwa kemungkinan besar terdapat unsur rasuah dalam pemberian projek.
“Ia benda biasa yang berlaku terutama projek yang dikeluarkan terus oleh kerajaan menerusi agensi. Ada kontraktor yang menggunakan sistem kartel di mana mereka membawa puluhan lesen untuk melobi projek menerusi sebut harga,” katanya.
Ujarnya, kartel mempunyai hubungan dengan orang dalam untuk mengetahui secara terperinci mengenai sebut harga.
“Bagaimanapun, ia tidak berlaku bagi projek menerusi konsesi. Kalau ada pun tak puas hati isu menekan harga dan pembayaran lewat,” katanya.














