fbpx

Michelle sedia lepas jawatan CEO ABM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHELLE

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai memberi gambaran untuk melepaskan jawatan susulan skuad badminton wanita negara tersingkir pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh kelmarin.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Dewan Badminton Dewan Badminton Morodok Techo itu, Malaysia mengalami kekalahan mengejutkan apabila tewas 0-3 kepada Filipina dalam acara berpasukan wanita, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Justeru, Michelle percaya barisan pengurusan dan kejurulatihan ABM termasuk beliau serta Pengarah Prestasi Tinggi, Dr. Tim Jones, Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan) dan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu) perlu bermuhasabah diri.

“Kekalahan semalam (kelmarin) tidak boleh diterima. Walaupun tahu pemain-pemain kita masih muda, namun setiap pemain yang menyarung jersi Malaysia sepatutnya tidak ada masalah untuk bermain di tahap itu.

“Saya bersama tiga orang di sini (Jones, Choong Hann dan Rexy) perlu tanya diri sendiri adakah kami cukup bagus? Jika kami tidak boleh lagi beri tambah nilai atau kehadiran kami tidak dirasai pemain, kenapa kami masih di sini.

“Mungkin saya bagus tetapi tidak boleh beri impak kepada pemain di sini. Nak tukar pemain tidak boleh kerana ini sahaja yang kita ada, jadi saya keluar dan beri orang lain masuk,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di ABM, Bukit Kiara semalam.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan, ABM tidak boleh lagi ‘bersembunyi’ di sebalik alasan pemain-pemain masih muda serta kurang pengalaman memandangkan skuad Sukan SEA tewas kepada Filipina yang memiliki jurang sangat besar dengan Malaysia.

Meskipun memiliki perancangan jangka panjang yang dilihat mampu menghasilkan keputusan dimahukan, namun Michelle menegaskan, mereka juga mahu melihat pencapaian memberangsangkan dalam tempoh terdekat.

“Kadang-kadang kita bersembunyi di sebalik alasan pemain masih muda, tidak berpengalaman dan kurang perlawanan. Bagaimanapun, pemain Filipina lagi kurang pengalaman, jadi tidak boleh sembunyi lagi kerana kita ada banyak sokongan di sini.

“Perancangan jangka panjang memang ada tetapi mahu tengok juga perubahan dalam tempoh tiga atau enam bulan. Secara jujur, perancangan jangka panjang tidak akan nampak sekarang kerana ia memerlukan masa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI