fbpx

Fungsi GIACC diserap ke SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Fungsi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) secara rasmi kini telah diserapkan sepenuhnya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkuatkuasa pada 18 April lalu.

SPRM menerusi kenyataan hari ini berkata, ia adalah selaras dengan keputusan kerajaan dan badan itu kini dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN).

Katanya, sebanyak enam fungsi utama GIACC antaranya menasihati kerajaan, menyelaras pelaksanaan inisiatif, menilai tahap keberkesanan, merancang strategi, memantau dan melapor dapatan tindakan berkaitan governans.

“Sementara itu, Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (National Anti-Corruption Plan – NACP) yang sebelum ini dipantau pelaksanaannya oleh GIACC telah diambil alih oleh BPGN, SPRM.

“Pelan yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 merupakan iltizam yang ditunjukkan oleh negara selari dengan semangat yang terkandung dalam United Nations Convention against Corruption (UNCAC) yang mana Malaysia adalah salah sebuah negara anggota apabila menandatangani konvensyen ini pada 1 Disember 2003,”katanya di sini.

Ujarnya, menerusi Artikel 5 konvensyen ini menetapkan bahawa sesebuah negara perlu mempunyai dasar dan strategi anti rasuah yang didokumenkan.

Sehubungan itu, NACP adalah bersifat merentas masa, ‘living document’, dan mengambil kira dasar serta keperluan semasa.

“Setelah mengambil kira Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP yang diterbitkan pada tahun 2021 dan juga tindakan yang telah diambil oleh Ketua Agensi Peneraju ke atas inisiatif-inisiatif NACP, status pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam NACP 2019-2023 telah menunjukkan kemajuan, walaupun negara berdepan masalah pandemik Covid-19,” jelasnya.

Dalam pada itu, SPRM turut memaklumkan, sehingga 31 Disember 2022, daripada keseluruhan 111 inisiatif NACP yang dipantau, sebanyak 62 inisiatif telah selesai pelaksanaan, dan penyiapan adalah di peringkat pengeluaran (output) iaitu bersamaan dengan 55 peratus.

“Ini menjadikan baki inisiatif yang kini dipantau adalah sebanyak 49 inisiatif.

“Daripada 49 inisiatif yang masih dalam tindakan Ketua Agensi Peneraju, 39 inisiatif dijangka dapat menepati masa dan diselesaikan sebelum penghujung Disember tahun ini bersamaan dengan 91 peratus pencapaian secara keseluruhan pelaksanaan NACP.

“10 inisiatif pula didapati berkemungkinan melewati tahun 2023 disebabkan oleh kompleksiti pelaksanaan yang melibatkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan perundangan semasa serta pewujudan perundangan baharu,” katanya.

Justeru, SPRM optimis dengan pelaksanaan NACP 2019-2023 serta komited untuk menyelesaikan baki inisiatif-inisiatif yang belum dilaksanakan.

Tambah kenyataan itu, komitmen Ketua Agensi Peneraju kepada inisiatif NACP 2019-2023 serta semua pihak dalam menjayakan usaha murni melalui pelaksanaan NACP merupakan suatu manifestasi terhadap kesungguhan menuju sebuah negara bebas rasuah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI