fbpx

Pasukan petugas khas dibentuk banteras 60 lombong haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2) di Putrajaya hari ini.- Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA- Kerajaan merancang untuk menubuhkan pasukan petugas khas dalam usaha mengatasi isu perlombongan haram melibatkan pelbagai jenis galian di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada masa sama, pihak kerajaan Persekutuan juga akan bekerjasama dengan kesemua kerajaan negeri dalam pasukan tersebut.

“Dianggarkan ada lebih 60 buah lombong haram yang telah dikesan dan pasukan petugas khas ini bakal melibatkan pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) Kedua di sini tadi.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sesi mesyuarat berkenaan juga membangkitkan isu berkaitan penerokaan sumber mineral secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Justeru, kerajaan persekutuan mengambil perhatian serius terhadap permasalahan isu itu terutama di lokasi rentan seperti hutan simpan kekal dan kawasan sensitif alam sekitar.

“Kita akan tegas menguatkuasakan kes aktiviti perlombongan haram ini kerana ia bukan sahaja merugikan ekonomi, malahan menjejaskan teruk keseimbangan alam,” tegasnya.

Secara umum ujar beliau, kerajaan melihat potensi besar mineral boleh membangunkan pendapatan negara dengan nilai keseluruhan dianggarkan mampu mencecah RM4 trilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI