SELEPAS mencapai sebatang berus hitam di sisinya, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Adina itu pantas menulis ungkapan ‘bahagia dan panjang umur’ pada tanglung berwarna merah yang ada di hadapannya.
Selepas tulisan tersebut kering, Adina kemudian menghulurkannya kepada seorang petugas di sebuah kedai menjual tanglung yang dikunjunginya di bandar Pingxi yang terletak di Taipei, Taiwan untuk dibakar dan dilepaskan ke udara.
Selaku pelancong dari Selangor yang pertama kali berkunjung ke Taiwan, Adina mengakui dia teruja apabila dibawa ke lokasi tarikan pelancong itu dan berpeluang merasai sendiri pengalaman melepaskan tanglung ke udara.
“Saya sudah lama mendengar tentang tradisi sambutan festival tanglung di Taiwan dan amat teruja untuk turut serta.
“Biarpun tidak berpeluang menyertai acara utamanya, saya tetap seronok kerana berpeluang merasai pengalaman melihat sendiri tanglung bersaiz besar serta menulis harapan saya di atas tanglung tersebut sebelum dilepaskan di udara,” ujarnya kepada Panorama ketika dibawa mengikuti Festival Tanglung Taiwan yang berlangsung selama dua minggu.
Festival tanglung merupakan satu acara kuno dan sehingga kini merupakan festival terbesar dan paling dinanti-nantikan sama ada oleh penduduk tempatan atau pun pelancong dari luar.
Festival Tanglung Taiwan (Taiwan Lantern Festival) atau turut dikenali sebagai Yuan Xiao Festival dianjurkan oleh Biro Pelancongan Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Taiwan. Ia merupakan festival terpenting selepas Tahun Baharu Cina. Tradisi itu bagi meraikan bulan penuh yang menandakan berakhirnya Tahun Baharu Cina.
Setiap tahun, ribuan tanglung yang ditulis dengan ucapan dan harapan orang ramai akan dilepaskan ke udara pada waktu malam, menjadikan langit bandar itu kelihatan cukup memukau diterangi cahaya tanglung.
Festival tanglung biasanya disambut selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan menjadi tradisi unik bagi masyarakat tersebut. Begitu pun, festival itu pada asalnya hanya diadakan secara kecil-kecilan dan hanya tertumpu di kawasan tokong.
Festival tanglung Taiwan secara mega itu buat pertama kalinya berlangsung di Taipei pada tahun 1990. Acara itu kekal sebagai acara tahunan di Taipei sehingga tahun 2000, sebelum akhirnya diadakan secara bergilir-gilir di bandar-bandar lain sekitar Taiwan.
Menariknya, pada tahun ini, Festival Tanglung Taiwan kembali diadakan di tempat kelahirannya iaitu Taipei selepas 23 tahun. Sambutan pada tahun ini begitu meriah dengan dianggarkan 100,000 tanglung diterbangkan ke udara.
Ia juga menjadi acara besar pertama yang dianjurkan Taiwan selepas negara pulau itu kembali menerima kunjungan pelancong setelah pandemik Covid-19 mulai mereda.
Ketua subseksyen Bahagian Pembangunan Pelancongan Taiwan, Chiu Ying Liang berkata, sambutan festival tanglung di negara pulau itu menjadi acara terbesar yang cukup dinanti-nantikan oleh pelancong dan juga penduduk tempatan.
“Apa yang menjadikan acara ini istimewa adalah kerana ia dianggap sebagai simbol tuah, yang mana orang ramai akan menulis apa sahaja ungkapan positif pada tanglung.

“Antara ungkapan yang sering ditulis termasuk kasih sayang, ketenangan, kemewahan dan panjang umur,” ujarnya.
Tambahnya lagi, simbolik melepaskan tanglung ke udara adalah supaya ucapan atau pun harapan yang ditulis itu sampai kepada tuhan.
Selain ungkapan, warna-warna pada kertas tanglung turut mempunyai maksudnya yang tersendiri.
Warna merah yang juga merupakan warna paling kerap digunakan pada tanglung membawa maksud kesihatan dan ketenangan, kuning membawa maksud wang dan kemewahan, manakala biru membawa maksud kerjaya dan kenaikan pangkat.
Seiring dengan kemodenan pulau kecil itu, festival tanglung pada tahun ini juga menyaksikan Taipei bukan saja diterangi dengan tanglung-tanglung di langit tetapi pameran lampu berwarna-warni yang lebih urban dan moden di ibu kota Taipei, yang setiap satunya membawa maksud tersendiri.
Bertemakan Light Up The Future, pengunjung percaya bahawa acara tersebut yang diadakan buat pertama kalinya selepas situasi Covid-19 mula mereda adalah sebagai tanda harapan dan impian baharu untuk bangkit selepas pandemik.
Pameran inovatif itu juga amat menarik kerana menggabungkan seni tradisional tanglung dengan teknologi lampu terbaharu.
Malah, pertunjukan itu telah dipancarkan ke bangunan pencakar langit Taipei 101, menjadikan acara itu berada pada kelasnya yang tersendiri.
Antara tarikan utamanya ialah tanglung atau lampu utama iaitu Brilliant Light of The Jade Hare yang dihasilkan dalam bentuk robot arnab sempena Tahun Arnab tahun ini. Seni lampu itu berketinggian 22 meter.
Robot arnab itu juga dikuasakan dengan cahaya dan mengeluarkan suara selama tiga minit bagi setiap 30 minit. Selain itu, rekaannya juga diinspirasikan daripada industri semikonduktor Taiwan.
Acara yang berlangsung selama dua minggu itu juga telah merekodkan kehadiran seramai lebih satu juta pengunjung.
Tambah Ying Liang, untuk tahun ini, festival itu mempamerkan cahaya berwarna-warni yang menggabungkan kecanggihan teknologi lampu.
“Tahun ini, festival tersebut diadakan di kawasan seluas 168 hektar dengan empat ruang pameran utama yang menampilkan lebih 300 jenis lampu. Antara kawasan yang disinari cahaya lampu tanglung adalah Xinyi dan Daan,” katanya.
Festival tanglung turut disambut dengan memakan makanan tradisi yuan xiao, iaitu bebola beras pulut yang dicampurkan bersama inti pes kacang atau bijan.
Biro Pelancongan Taiwan berharap agar acara tersebut akan merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau itu yang terjejas akibat Covid-19.














