fbpx

Homestay kampung ‘port’ transit dadah RM3.4 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan dadah dibungkus dalam bungkusan kopi dan teh cina pada sidang akhbar di IPD Pontian, Johor hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

PONTIAN – Helah satu sindiket menjadikan rumah inap desa di kawasan kampung sebagai ‘port’ transit dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar apabila diserbu polis dalam dua kejadian Khamis lalu.

Dalam operasi yang dijalankan di Ayer Baloi di sini dan Tangkak bermula pada pukul 8.45 malam hingga 10 malam itu, lima lelaki yang merupakan ahli sindiket termasuk seorang tekong warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun diberkas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini aktif melakukan bisnes haram itu sejak Januari lalu.

“Hasil serbuan ini polis Johor berjaya merampas 62 paket mengandungi 64.89 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 58,626 biji pil ekstasi seberat 17.58kg.

“Jumlah nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM3.43 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sindiket ini menggunakan modus operandi menyewa ‘homestay’ di kawasan kampung berhampiran persisir pantai sebagai tempat menyimpan dadah.

Jelasnya, sindiket akan menggunakan khidmat tekong laut untuk membawa bekalan dadah ini untuk diseludup ke negara jiran melalui laluan tikus.

“Seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun yang ditahan itu merupakan tekong laut, dia akan membawa dadah-dadah ini menggunakan bot.

“Suspek berkenaan juga merupakan orang dikehendaki polis negara jiran itu kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah,”katanya.

Tambah beliau, sindiket juga bertindak licik dengan membungkus dadah syabu dalam bungkusan kopi dan teh cina.

Ujarnya, dalam serbuan itu, dua buah bot fiber dirampas selain empat buah kenderaan, sebuah motosikal serta wang tunai dan nilai sitaan berjumlah RM248,860.29.

Katanya, dua daripada suspek didapati positif dadah dan kesemua suspek ditahan tujuh hari sehingga 11 Mei ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI