fbpx

Wanita maut, motosikal terbabas langgar pembahagi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KAJANG – Seorang wanita maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 yang ditungganginya disyaki hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer (KM) 15.3 Lebuh Raya Cheras-Kajang (arah Kajang) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.47 pagi semalam, mangsa berusia 36 tahun menunggang motosikalnya dari arah Kepong menghala ke Sungai Long, Kajang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal tersebut disyaki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan besi yang berada di tengah jalan.

“Ekoran itu, wanita tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian kemalangan tersebut sama ada terdapat unsur-unsur lain.

Katanya, polis telah membuka satu kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan di daerah Kajang.

“Mereka juga boleh menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Ammar Mohd. Tahir di talian 018-2194013 bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI